Home Koronavirus Sambutan dos penggalak di Perak perlahan

Sambutan dos penggalak di Perak perlahan

0
Sambutan dos penggalak di Perak perlahan

LUMUT – Tindakan segelintir pihak yang melakukan ‘troll’ terhadap program kerajaan menyebabkan sambutan orang ramai untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 perlahan di Perak.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, walhal seramai 711,380 individu dicatatkan telah menerima imunisasi Covid-19 sehingga Rabu lalu.

“Bagi dos penggalak hanya 42.9 peratus yang terima dan jumlah itu tidak sampai sejuta penduduk sedangkan lebih 1.8 juta rakyat atau 74.1 peratus telah lengkap vaksinasi.

“Vaksin yang ada banyak tetapi bagi dos penggalak dilihat kurang sedikit mendapat sambutan kerana ada pihak membuat ‘troll’ kononnya dos ini sesuatu yang merosakkan menyebabkan ramai tidak ambil vaksin,” katanya ketika ditemui sempena Operasi Tahun Baharu Cina (Op Hu – Harimau) Peringkat Negeri di sebuah pasar raya di Seri Manjung, pada Jumaat.

Menurut Mohd Akmal, pihaknya berharap semua pihak dapat menyambut baik program kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, sebanyak 197 kes positif covid-19 dicatatkan daripada kluster pendidikan di Perak.

“Terdapat empat sekolah asrama di Ipoh dan Taiping serta dua institusi bukan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri di Perak Tengah dan Bagan Datuk direkodkan mempunyai kes Covid-19, baru-baru ini.

“Terdapat kes-kes tertentu yang menjalani kuarantin di rumah namun difahamkan lebih 80 pelajar sebuah sekolah agama di Ipoh akan tamat menjalani kuarantin esok (Sabtu) setelah kesemuanya didapati negatif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here