Home Koronavirus Sabah terima 104,110 dos vaksin Covid-19

Sabah terima 104,110 dos vaksin Covid-19

0
Sabah terima 104,110 dos vaksin Covid-19

KOTA KINABALU – Sabah akan menerima sebanyak 104,110 dos bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dihantar menerusi enam pakej bermula Khamis sehingga 1 April depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kumpulan pertama yang baru tiba pada Khamis adalah sebanyak 16,380 dos vaksin.

“Hari ini kita menerima secara rasmi vaksin yang diterbangkan dari Kuala Lumpur dan vaksin ini datang dalam enam pakej atau kumpulan.

“Kumpulan kedua akan diterima pada 4 Mac iaitu sebanyak 9,360 dos, kumpulan ketiga pada 11 Mac (24,550), kumpulan ketiga pada 18 Mac (3,510), kumpulan kelima pada 25 Mac (18,720) dan keenam pada 1 April sebanyak 31,590 dos,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menyambutkan ketibaan vaksin kumpulan pertama di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA).

Katanya lagi, seramai 42,117 petugas barisan hadapan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM akan menerima vaksin dalam fasa pertama ini.

“Secara rasminya vaksinasi ini akan dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 4 Mac ini dan kita telah memilih tiga orang, bukan semuanya orang politik, hanya Ketua Menteri penerima pertama selaku ketua kerajaan.

“Selain itu, ketua frontliners kita ialah Pengarah Kesihatan Sabah (Datuk Dr Christina Rundi) dan penerima ketiga ialah Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali), ini tiga orang pertama yang menerima dan selepas itu diberi kepada kumpulan tiga-tiga yang lain pada hari yang sama,” katanya.

Beliau juga dalam pada itu memaklumkan semua rakyat Sabah akan menerima vaksin itu mengikut fasa seterusnya.

“Vaksin seterusnya akan dihantar sehingga ia mencukupi untuk semua penduduk di Sabah. Kerajaan sudah umumkan semua akan mendapat vaksin ini kerana kita selamat, orang lain pun selamat.

“Penduduk Sabah ada hampir empat juta orang dan semua warganegara akan mendapatnya,” katanya.

Hadir sama menyambut ketibaan vaksin itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Terdahulu, Pesawat Raya Airways yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin itu tiba di Terminal 2 KKIA pada jam 12.40 tengah hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here