KOTA KINABALU – Sabah menyasarkan seramai 268,000 penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri yang bermula hari ini sehingga Ogos depan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya.
Beliau berkata pemberian vaksin Covid-19 bagi fasa berkenaan akan membabitkan warga emas berumur 60 tahun ke atas, Orang Kurang Upaya dan individu berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi.
“Hari ini, lebih 200 orang dijangka menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 bagi fasa kedua, diikuti 600 orang pada esok dan lusa,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor melancarkan fasa kedua program berkenaan di sini, pada Isnin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.
Shahelmey menggesa rakyat Sabah untuk segera mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berikutan jumlah individu mendaftar menyertai program itu di Sabah masih lagi agak rendah iaitu seramai 426,934 orang setakat 17 April lepas.
Shahelmey juga berharap pemberian vaksin Covid-19 fasa pertama kepada 42,117 petugas barisan hadapan antara lain terdiri daripada anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKMM akan menjadi testimoni kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka yang layak menerima suntikan vaksin.
“Apabila ia (fasa kedua) bermula, maka segala persepsi negatif yang tular di media sosial (mengenai suntikan vaksin Covid-19) akan dapat ditangkis secara perlahan-lahan. Kita perlu menyedarkan lebih ramai orang di Sabah tampil ke hadapan untuk mendaftar menyertai program imunisasi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, seramai enam petugas kesihatan di Sabah, yang telah selesai menjalani proses vaksinasi, dikesan dijangkiti Covid-19 namun jangkitan itu antara lain disebabkan oleh kontak rapat selain ada yang dikesan positif selepas kurang daripada seminggu menerima suntikan vaksin.
“Apabila diberi vaksin, ia tidak bermakna kita tidak akan dijangkiti Covid-19 tetapi dengan adanya vaksin ia akan meningkatkan imunisasi dalam badan dan inilah tujuannya agar penularan jangkitan virus dapat dibendung sekaligus dikurangkan.
“Walaupun sudah menerima suntikan vaksin, kita masih perlu mematuhi prosedur operasi standard digariskan kerajaan memandangkan kita masih belum mencapai 80 peratus imuniti kelompok,” katanya menambah seramai 600 individu di Sabah diberikan dos pertama vaksin Sinovac setakat ini.
Sehingga kini, Sabah menyediakan sebanyak 212 Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negeri. – Bernama