Home Koronavirus Sabah rekodkan kluster punca jangkitan dipercayai dari Indonesia

Sabah rekodkan kluster punca jangkitan dipercayai dari Indonesia

0
Sabah rekodkan kluster punca jangkitan dipercayai dari Indonesia

KOTA KINABALU – Sabah merekodkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Sawit Segama di Lahad Datu berpunca daripada kes indeks seorang wanita warganegara Indonesia yang memasuki negeri berkenaan pada 25 Jun lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata wanita berusia 48 tahun itu dikesan positif Selasa lepas hasil ujian saringan di sebuah klinik swasta, selepas mempunyai simptom batuk dan sakit tekak tiga hari sebelumnya.

Menurutnya, wanita berkenaan yang tiba bersama dua cucunya sebelum itu telah diarah menjalani kuarantin di sebuah ladang sebelum dibenarkan kembali berkerja.

Susulan penemuan kes positif itu, Masidi dalam satu kenyataan berkata pengesanan kes secara aktif dan saringan telah dijalankan terhadap 64 kontak dan mendapati 14 lagi individu disahkan positif sementara 49 negatif untuk saringan pertama.

“Semua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Lahad Datu, manakala semua kontak rapat juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu,” katanya.

Secara keseluruhan, Masidi berkata, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri itu hari ini adalah sebanyak 323 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,791 kes, manakala 230 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif seramai 68,969 orang. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here