Home Koronavirus Sabah rekod dua kluster baharu

Sabah rekod dua kluster baharu

0
Sabah rekod dua kluster baharu

KOTA KINABALU – Sabah merekodkan dua kluster baharu Covid-19 melibatkan jangkitan dalam komuniti pada Isnin, iaitu Kluster Pauh di Kinabatangan dan Kluster Angsana di Papar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Pauh yang mencatatkan 23 kes kumulatif positif Covid-19, dicetuskan daripada jangkitan kes indeks seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 21 tahun, yang dikesan positif pada 12 Julai lepas.

“Susulan kes itu, saringan kontak rapat dijalankan terhadap kontak keluarga, sosial dan tanggungan. Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih giat dilakukan di lapangan, sebagai langkah membendung penularan penyakit.” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Masidi, Kluster Angsana pula membabitkan kes indeks seorang wanita berusia 66 tahun, dan pengesanan secara aktif serta saringan dilakukan terhadap 77 kontak mendapati, 29 individu dikesan positif termasuk tujuh kes hari ini.

“Sementara itu, 48 sampel didapati negatif dan 19 sampel lagi sedang menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, kawalan penularan penyakit, disinfeksi dan siasatan punca jangkitan, masih giat dijalankan,” katanya.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, Sabah pada Isnin merekodkan 651 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 75,796 kes.

“Pesakit sembuh dibenarkan keluar hospital pula seramai 231 orang, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,463 orang,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here