Home Koronavirus Sabah rekod dua kluster baharu jangkitan komuniti hari ini

Sabah rekod dua kluster baharu jangkitan komuniti hari ini

0
Sabah rekod dua kluster baharu jangkitan komuniti hari ini

KOTA KINABALU – Sabah merekodkan dua kluster baharu Covid-19 melibatkan jangkitan dalam komuniti pada Rabu iaitu Kluster Siasai Dundau dan Kluster Pintasan, kedua-duanya di Kota Belud, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, Kluster Siasai Dundau yang mencatatkan 47 kes kumulatif positif Covid-19 dicetuskan daripada jangkitan kes indeks seorang wanita berusia 24 tahun dengan dikesan positif pada 28 Jun lepas selepas mempunyai gejala demam, selesema dan batuk sejak 21 Jun lepas.

“Susulan kes itu, saringan kontak rapat dijalankan terhadap 132 individu. Semua kes positif telah menjalani penilaian dan pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Masidi, Kluster Pintasan pula membabitkan kes indeks seorang wanita berusia 35 tahun dan pengesanan secara aktif serta saringan dilakukan terhadap 34 kontak mendapati 17 individu dikesan positif termasuk lapan kes hari ini.

“Ia menjadikan jumlah kes positif bagi kluster ini ialah 18 kes. Semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Kota Belud. Dalam pada itu, semua kontak rapat juga diarahkan kuarantin untuk pengasingan,” katanya.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, Sabah pada Rabu merekodkan 244 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 71,189 kes.

“Pesakit sembuh dibenarkan keluar hospital pula seramai 228 orang, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,536 orang,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here