Home Koronavirus Ruangan solat tidak boleh dijadikan tempat suntik vaksin

Ruangan solat tidak boleh dijadikan tempat suntik vaksin

0
Ruangan solat tidak boleh dijadikan tempat suntik vaksin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan mengingatkan supaya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan masjid mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, antaranya tidak menjadikan ruangan solat sebagai tempat suntikan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, PPV berkenaan hanya boleh beroperasi sekiranya kemudahan di masjid tersebut mencukupi dan sesuai untuk dijadikan lokasi proses vaksinasi.

“SOP penting yang perlu dipatuhi di PPV masjid ialah tidak menggunakan ruang solat. Gunakan kemudahan lain yang ada di kawasan masjid, misalnya bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid.

“Jika masjid yang mahu digunakan tidak mempunyai kelengkapan sesuai, ia sepatutnya tidak dibenarkan dari awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Amzad berkata, masalah itu berbangkit apabila terdapat negeri yang telah memulakan program ‘outreach’ di masjid tanpa merujuk SOP kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pusat.

Katanya, beliau menerima maklumat bahawa terdapat ruang solat masjid digunakan kerana tiada tempat lain yang sesuai.

“Saya telah mengarahkan supaya kesilapan yang sama tidak diulangi dan penambah baikan dibuat.

“Saya telah menghubungi Exco Kesihatan negeri berkenaan supaya langkah segera diambil bagi mengelakkan penyebaran gambaran negatif terhadap usaha murni kerajaan dalam meluaskan pemberian vaksin kepada rakyat,” ujarnya.

Pada Ahad, tular gambar ruangan solat di sebuah masjid digunakan untuk suntikan vaksin Covid-19 selain dijadikan sebagai ruangan menunggu.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, selain masjid, terdapat lokasi lain yang turut dijadikan PPV sebagai usaha memperluaskan pemberian vaksin.

“Susulan kejayaan pelaksanaan projek perintis PPV masjid di Terengganu, saya telah meminta inisiatif ini dikembangkan dengan garis panduan ditetapkan.

“Kita bukan minta setiap masjid membuka PPV, hanya masjid yang mempunyai kelengkapan sesuai digalakkan. Kita juga ada banyak lagi PPV yang dibuka seperti dewan orang ramai, balai raya dan klinik kesihatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here