Home Koronavirus Remaja, calon SPM tidak akan diberi vaksin dalam masa terdekat

Remaja, calon SPM tidak akan diberi vaksin dalam masa terdekat

Remaja, calon SPM tidak akan diberi vaksin dalam masa terdekat

SHAH ALAM – Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan golongan remaja berusia 17 tahun hingga 12 tahun tidak akan diberi vaksinasi dalam masa terdekat.

CITF dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersetuju untuk tidak memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian di Amerika Syarikat.

“Keutamaan ketika ini adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi melengkapkan fasa dua dan memantapkan pelaksanaan fasa tiga di seluruh negara.

“Ia termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan Pandemik Covid-19.

“Bagi pelajar yang telah mencapai umur 18 tahun, contohnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini akan diberikan vaksinasi Covid-19 mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pasukan itu berkata, usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah serta staf sokongan sekolah sebagai persedian pembukaan sekolah kelak.

Tambahnya, pelaksanaan tersebut akan dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah.

Mengulas lanjut, CTIF berkata, kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Katanya, sebarang makluman lanjut dan tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan tersebut akan diputuskan kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here