Home Koronavirus Ramai keluarga mangsa Covid-19 tidak mohon bantuan khas kematian

Ramai keluarga mangsa Covid-19 tidak mohon bantuan khas kematian

0
Ramai keluarga mangsa Covid-19 tidak mohon bantuan khas kematian

KOTA BHARU – Masih ramai keluarga waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak memohon Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima lebih 6,000 permohonan dan angka itu jauh lebih rendah berbanding hampir 30,000 jumlah kematian direkodkan setakat ini.

Menurut Aminuddin, pihaknya mendapati terdapat beberapa faktor menyebabkan waris mangsa tidak berbuat demikian dengan satu daripadanya kerana waris perlu mengemukakan beberapa dokumen pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain itu, ada waris yang enggan memohon kerana berpendapat mereka tidak perlu menanggung kos sama ada ketika berada di hospital atau proses pengebumian.

“Oleh itu, kita telah melakukan pembaharuan dengan menggunakan apa sahaja dokumen pengesahan daripada KKM sama ada surat hospital atau surat kematian, itu sudah memadai untuk membuat permohonan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Aminuddin bagaimanapun berkata, permohonan yang dibuat waris mangsa akan ditentukan oleh KKM sama ada layak menerima atau sebaliknya dan sehingga kini hanya sekitar tujuh peratus permohonan yang tidak lulus disebabkan masalah teknikal.

“Kita mohon waris mangsa supaya bersabar sekiranya permohonan mengambil masa yang lama kerana perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum bantuan dikeluarkan.

“Permohonan untuk bantuan kematian ini akan ditutup sebaik negara memasuki fasa endemik. Selepas memasuki fasa endemik, ia perlu melalui Jemaah Menteri sama ada bantuan berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, selain bantuan kematian bernilai RM5,000, pihaknya turut menyediakan bantuan harian RM100 kepada mangsa positif Covid-19 yang terjejas dari segi pendapatan.

“Sebagai contoh seorang peniaga yang disahkan positif dan dia perlu kuarantin selama tujuh hari menyebabkan tidak dapat bekerja. Golongan ini layak memohon dan akan diberikan bantuan RM100 sehari bagi tempoh maksima sehingga 14 hari,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here