Home Koronavirus Ramai kecewa tiada pengumuman PKP penuh di Selangor

Ramai kecewa tiada pengumuman PKP penuh di Selangor

0
Ramai kecewa tiada pengumuman PKP penuh di Selangor

SHAH ALAM – Rata-rata netizen menzahirkan kekecewaan apabila tiada sebarang pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di Selangor menerusi sidang akhbar oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada petang Rabu.

Sidang akhbar yang dijadualkan pada jam 4.30 petang di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) itu adalah bagi memberi penerangan berhubung isu kemanusiaan di Palestin dan situasi terkini Covid-19 di Selangor.

Bagaimanapun, ramai netizen kecewa apabila Amirudin tidak membuat sebarang pengumuman berhubung pelaksanaan itu dan hanya menyalahkan kerajaan Persekutuan.

Seorang netizen dikenali sebagai Muhamad Nazri Punard berkata, rakyat mahukan PKP secara penuh dan semua sektor industri dihentikan buat sementara waktu bagi menangani wabak Covid-19 di Selangor.

“Rakyat mahu ‘lockdown’ secara penuh, semua industri ditutup penuh dan hanya dibuka kepada sektor perubatan serta makanan,” tulisnya menerusi rakaman lintas langsung sidang akhbar berkenaan di laman Facebook Sinar Harian.

Sementara itu, Ikin Ibrahim berkata, kerajaan sewajarnya melupakan seketika mengenai sektor ekonomi dan mengutamakan nyawa rakyat menerusi pelaksanaan PKP secara penuh.

“Tak payah nak fikir ekonomi sangat. Walaupun kami tahu effect (kesannya sangat besar pada ekonomi. Lepas ‘lockdown’, Insya-ALLAH semua pulih seperti biasa termasuk ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimy Hanapiah berkata, pihaknya merasa pelik dengan gesaan sebilangan pihak yang meminta Amirudin mengumumkan pelaksanaan PKP secara penuh sedangkan perkara itu adalah di bawah bidang kerajaan Persekutuan.

“Pelik. Ramai minta MB (Menteri Besar) umum ‘lockdown’ tapi benda memang bukan bidang kuasa dia dalam tempoh darurat ini. Kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan ‘lockdown’ Selangor tertakluk kepada MKN

Amirudin menerusi sidang akhbar berkenaan menjelaskan bahawa kerajaan Selangor tidak menolak ataupun menghalang pelaksanaan PKP secara penuh, namun perkara itu seharusnya mendapat pertimbangan secara holistik melibatkan aspek kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.

Beliau berkata, kuasa bagi pelaksanaan PKP secara penuh adalah di bawah MKN dan kerajaan Persekutuan.

“Nyawa rakyat Malaysia khususnya Selangor menjadi keutamaan, namun harus ada sifat empathy dan memikirkan kesan kepada kehidupan, hilang pendapatan termasuk kesan kepada kesihatan mental,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor tolak PKP penuh jika diberi pilihan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here