Home Koronavirus ‘Ramai daftar tapi tak pergi’

‘Ramai daftar tapi tak pergi’

0
‘Ramai daftar tapi tak pergi’

SHAH ALAM – Seorang doktor yang merupakan anak kelahiran Kelantan, Dr George Lee Eng menasihati orang ramai supaya menepati temu janji suntikan vaksin pada tarikh yang ditetapkan.

Kepetahan Pakar Perunding Bedah Urologi itu bertutur loghat Kelantan yang dikongsikan di Instagram menarik perhatian ramai dengan menyentuh alasan individu yang tidak hadir pada tarikh vaksinasi.

“Leni (sekarang) dah ado ubat cucuk, ramai ore daftar, tapi dok pegi pulok. Mano lagu tu?

“Memang doktor pehe (faham) kalau koya lupa, tapi kalau ramai koya belako lupa, macam mana nak hapuskan Covid ni?” soalnya di Instagram.

Selain itu, Dr Lee Eng yang juga Profesor Pembedahan Klinikal berkata, temu janji tersebut perlu dihadiri agar vaksin tersebut tidak rosak dan terbuang.

Jelasnya, pembaziran duit akan berlaku sekiranya keadaan tersebut terpaksa dilakukan disebabkan sikap masyarakat yang tidak mahu datang mengambil vaksin.

Pada 24 Mei, kerajaan Kelantan mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat di negeri ini tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 pada tarikh yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, situasi itu amat mengecewakan kerana suntikan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengukuhkan imunisasi melawan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, pada 26 Mei, dianggarkan lebih 9,000 penduduk di Perak dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, jumlah itu membabitkan individu yang dijadualkan menerima dos pertama bagi pemberian vaksin fasa kedua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here