KUCHING – Rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dibenarkan untuk merentas negeri tanpa halangan termasuk ke luar negara.
Untuk itu, sijil khas akan dikeluarkan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.
“Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini tanpa halangan pihak berkuasa.
“Malah dengan sijil itu juga, mereka boleh melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shelly Sheliza Ahmad, peserta pada Sesi ‘Townhall’ Wawasan Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan teliti kebenaran rentas negeri sempena Aidilfitri
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menasihatkan rakyat agar tidak bimbang untuk menerima suntikan vaksin tersebut.
“Saya sama juga seperti Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, kekal sihat dan cergas selepas menerima dua dos vaksin itu.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan, vaksin itu selamat dan dijamin melindungi kita,” katanya.