KOTA BHARU – Kelewatan Kelantan untuk beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dipercayai disebabkan oleh kegagalan rakyat di negeri berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan jumlah jangkitan Covid-19 masih belum turun pada tahap sewajarnya.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, Kelantan agak lambat untuk beralih ke fasa tiga memandangkan jumlah jangkitan kes masih empat angka dan paling rendah hanya mencecah 900 lebih kes. Angka (jangkitan) ini mesti diturunkan kepada jumlah lebih rendah.
“Kita perlu terus mematuhi SOP. Walaupun sudah divaksin, namun kita masih terdedah kepada risiko jangkitan. Ia terpulang kepada sejauh mana kita menjaga diri,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Izani sebelum itu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Demit 2, di sini untuk menyaksikan pemberian vaksin melibatkan remaja di sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Izani berkata, rakyat Kelantan adalah seramai 1.13 juta orang dan mereka yang sudah mendapat dos pertama vaksinasi adalah lebih 95 peratus.
Katanya, selain itu, untuk vaksinasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 160,000 orang telah menerima vaksinasi masing-masing dan proses berkenaan sedang berjalan dari masa ke semasa di semua PPV terlibat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan pembukaan rentas sempadan melibatkan Malaysia-Thailand, Izani berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pusat untuk menentukannya.
“Cuma kami di peringkat negeri bersedia sepenuhnya jika aktiviti rentas sempadan dibuka,”katanya.
Pada September lalu media melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan Kelantan bakal beralih kepada Fasa Tiga PPN pada bulan Oktober.