Home Koronavirus Pusat Panggilan Covid-19 Pulau Pinang beroperasi Rabu depan

Pusat Panggilan Covid-19 Pulau Pinang beroperasi Rabu depan

0
Pusat Panggilan Covid-19 Pulau Pinang beroperasi Rabu depan

GEORGETOWN – Pusat Panggilan Covid-19 Pulau Pinang yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang akan mula beroperasi pada 15 September ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pusat panggilan tersebut adalah untuk menambah baik pengurusan masa tindak balas atau ‘response time’ bagi pemantauan pesakit Covid-19 dan kontak rapat.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri, Phee Boon Poh pada Jumaat.

“Dalam mesyuarat pagi tadi, Boon Poh telah mengesahkan bahawa pusat panggilan itu akan mula beroperasi pada Rabu minggu depan (15 September).

“Inisiatif ini merupakan tambahan daripada talian sedia ada iaitu Pusat Panggilan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Pulau Pinang (PUCC) dan Careline Gabungan PgCare,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebagai permulaan, Kon Yeow berkata, sebanyak lima talian akan beroperasi di pusat panggilan yang bakal ditempatkan di Tingkat 24, Komtar.

“Ia akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad yang mana, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga 10 malam sekiranya diperlukan.

“Nombor talian khas tiga digit juga akan diwujudkan dan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata, pengoperasian pusat panggilan itu disediakan dalam empat bahasa utama iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin/Hokien dan Tamil.

“Ia akan diketuai oleh Pegawai Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dibantu oleh Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pusat operasi itu turut memperoleh kerjasama penuh daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang dan beberapa agensi lagi,” katanya.

Ujarnya, maklumat senarai pesakit dikuarantin akan dibekalkan oleh JKNPP yang mana, Pusat Panggilan Covid-19 Pulau Pinang akan menyelaras keperluan mereka yang didapati positif, menjalani kuarantin di rumah serta lain-lain yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here