PUTRAJAYA – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mengenal pasti punca sebilangan individu menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19 meskipun tidak pernah membuat sebarang tempahan.
CITF menerusi satu kenyataan menjelaskan, hasil semakan pihaknya mendapati slot vaksin telah ditempah itu adalah bagi pihak orang lain tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit untuk menerima vaksin AstraZeneca.
“Antara aduan yang telah diterima termasuk janji temu yang diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca, tetapi telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca,” kata CITF dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut CITF, pihaknya mendapati tempahan itu dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama, malah pihaknya telah menghubungi salah satu daripadanya iaitu SELangkah.
“SELangkah memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL bersetuju menerima vaksin AstraZeneca bagi menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini sekiranya ada,” katanya.
Kata CIFT, SELangkah bagaimanapun telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan pihaknya bagi menyelesaikan isu tersebut serta memastikan individu terlibat mendapatkan semula janji temu sebelumnya.
“Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin. CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai,” katanya.