Home Koronavirus Pulau Pinang laksana vaksin warga asing secara jumpa terus hari ini

Pulau Pinang laksana vaksin warga asing secara jumpa terus hari ini

0
Pulau Pinang laksana vaksin warga asing secara jumpa terus hari ini

KEPALA BATAS – Pulau Pinang memulakan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus kepada warga asing hari ini.

Tinjauan Bernama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Milenium dekat sini mendapati kebanyakan warga asing hadir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikawal ketat oleh petugas PPV bermula jam 2 petang.

Pengusaha cat kenderaan, Chooi Fock Kuan, 52, berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai majikan untuk memastikan tiga pekerjanya yang merupakan warganegara Myanmar mendapatkan suntikan vaksin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Setelah kerajaan negeri umum warga asing boleh jumpa terus (untuk suntikan vaksin) saya rasa lega kerana sudah tiga bulan pekerja tidak bekerja. Kasihan pada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Fock Kuan berkata, beliau tidak memberhentikan pekerjanya kerana faham akan situasi yang dialami mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika ini.

Salah seorang pekerjanya, Zaw Win, 31, yang tinggal di negara ini sejak enam tahun lepas berkata, beliau berasa gembira selepas menerima vaksin dan berharap dapat bekerja semula.

Sementara itu warga Indonesia, Kristofina Kandi, 36, yang bekerja dalam perkhidmatan cucian mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi peluang kepada warga asing untuk mendapatkan suntikan vaksin secara percuma.

Jumaat lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan sebanyak empat PPV iaitu di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Dewan Milenium, SP Arena dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap akan mula melaksanakan pemberian vaksin secara jumpa terus kepada warga asing di negeri ini hari ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here