Home Koronavirus Pulau Pinang jangka kes Covid-19 turun September

Pulau Pinang jangka kes Covid-19 turun September

0
Pulau Pinang jangka kes Covid-19 turun September

GEORGETOWN – Penurunan kes positif Covid-19 di Pulau Pinang dijangka berlaku pada minggu ketiga September ini terutamanya melibatkan jangkitan tahap serius.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr Kwanhathai Darin Wong berkata, perkara itu boleh dicapai sekiranya keseluruhan penduduk dewasa di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, untuk melihat penurunan kes akan mengambil sedikit masa namun jika semua penduduk mendapat vaksin, selepas dua minggu imunisasi dalam kalangan penduduk meningkat.

“Vaksin memang tidak dapat melindungi daripada dijangkiti Covid-19, tetapi dapat mengurangkan risiko seseorang itu mendapat simptom yang lebih serius.

“Sebab itu amat penting untuk kita mengambil vaksin tidak kiralah apa jenis sekali pun apabila ditawarkan, bukan hanya untuk melindungi diri sendiri, tetapi juga orang di sekeliling,” katanya pada sidang akhbar di KOMTAR di sini pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan atau 100 peratus populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada awal September depan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr Rafidah Md Noor berkata, kesemua hospital awam di Pulau Pinang ketika ini sudah mencapai kapasiti 100 peratus penggunaan bagi rawatan pesakit Covid-19.

Jelasnya, jumlah itu termasuk 876 katil untuk rawatan pesakit tidak kritikal serta 70 katil unit rawatan rapi (ICU).

“Bagi menghadapi pertambahan kes dan memastikan perawatan kepada pesakit kategori 3, 4 dan 5, bilangan katil yang lebih amat diperlukan.

“Tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang adalah untuk menambahkan kapasiti rawatan di hospital.

“Sebelum ini, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kepala Batas yang menyediakan rawatan bagi pesakit Covid-19 dan kini Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam juga telah dijadikan hospital untuk merawat pesakit Covid-19,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here