GEORGETOWN – Pulau Pinang bakal menerima 62,000 lagi dos vaksin Pfizer-BioNTech dalam masa terdekat selepas 16,000 dos dihantar pada Ahad lepas.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lima kotak penghantaran yang akan diterima tidak lama lagi adalah tambahan dos kedua kepada 31,000 penerima fasa pertama yang perlu disuntik dalam tempoh 21 hari.
“Fasa pertama untuk 62,000 dos kesemuanya kerana kita ada 31,000 petugas barisan hadapan tetapi yang terima dos kedua pada 21 hari kemudiannya akan kembali untuk ambil dos kedua.
“Kita berharap program suntikan vaksin ini berjalan lancar dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini pada Ahad.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Asmayani berkata, seramai 318 petugas barisan hadapan di negeri itu sudah menerima suntikan vaksin itu minggu lalu termasuk 54 pemvaksin.
Katanya, fasa pertama pemberian vaksin itu membabitkan petugas barisan hadapan terdiri daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar.
Pada Ahad lepas, sebanyak 16,000 dos Vaksin Covid-19 jenis Pfizer -Bioctech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)
Vaksin tersebut disimpan di dua pusat simpanan Vaksin (PSV) terlebih dahulu sebelum proses vaksin dilakukan di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan di negeri itu.