Home Koronavirus Program outreach vaksinasi orang asli giat dijalankan di Perak

Program outreach vaksinasi orang asli giat dijalankan di Perak

0
Program outreach vaksinasi orang asli giat dijalankan di Perak

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terus mempergiatkan pelaksanaan Program Outreach Vaksinasi Orang Asli Negeri Perak bagi memastikan masyarakat itu tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Terbaharu, lebih 60 orang asli di Kampung Sungai Baduk di sini menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Outreach Vaksinasi Orang Asli Daerah Kinta, Sabtu lalu (7 Ogos).

Tok Batin di perkampungan itu Mat Uda, 57 berkata, rata-rata penduduk kampung pada mulanya berasa takut untuk menerima suntikan vaksin namun sikap mereka berubah selepas menyaksikan pemimpin mereka tetap sihat selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Apabila mereka melihat keadaan saya baik selepas disuntik vaksin dos pertama sempena program berkenaan di Kampung Chadak pada 4 Julai dan melengkapkan suntikan dos kedua pada 25 Julai lepas, kini ramai yang lebih yakin untuk menerima suntikan pertama vaksin mereka di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, program outreach berkenaan amat membantu lebih 100 penduduk orang asli di kampung yang terletak jauh dari kawasan bandar itu untuk mendapatkan suntikan vaksin terutamanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Warga emas yang juga penerima vaksin tertua Ngah Long, 85 berkata, walaupun menghidap penyakit darah tinggi dan masalah semput namun dia tetap mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk meningkatkan sistem imun badannya bagi melindungi diri, keluarga dan orang lain.

“Saya tidak berasa takut kerana apa yang lebih menakutkan jika kita kehilangan nyawa akibat dijangkiti wabakCovid-19..keadaan saya macam biasa sahaja selepas disuntik,” kata warga emas yang mempunyai lapan anak itu. Beliau yang ditemani cucunya Rokiah Uda Kassim, 44, dibawa menaiki kerusi roda ke program berkenaan.

Wanita dari Suku Temiar itu turut menasihatkan orang asli lain supaya segera mendapatkan suntikan vaksin demi kesihatan dan keselamatan semua penduduk di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kinta Dr. Asmah Zainal Abidin berkata, kampung itu merupakan lokasi keempat program outreach bersama orang asli diadakan di Perak sejak dimulakan bulan lepas.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 200 dos bagi setiap program outreach di perkampungan orang asli kerana program sama yang diadakan di beberapa lokasi sebelum ini, mendapati kehadiran penerima melebihi daripada jumlah vaksin yang ditetapkan sekali gus menunjukkan keinginan tinggi komuniti itu untuk mendapatkan vaksin.

“Program dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bersama-sama Jakoa serta Petugas Khas Imunisasi Covid-19 dengan tiga vaksinator berjalan lancar dan ia akan diteruskan di perkampungan orang asli pinggiran lain di daerah ini,” katanya.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Kesihatan Awam), Dr Ummi Kalthom Shamsudin yang turut hadir pada program itu berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 80 peratus atau seramai 42,000 orang asli Pinggiran di negeri ini menerima vaksin dos pertama pada hujung Ogos sekiranya bekalan mencukupi.

“Orang asli memang ramai yang hendak mendapatkan vaksin Covid-19, jadi kita mengambil langkah proaktif dengan membawa lebih bekalan vaksin untuk program di kawasan mereka,” katanya menambah kakitangannya turut pergi ke rumah penduduk yang terlantar sakit bagi memudahkan penduduk kampung menerima suntikan vaksin. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here