Home Koronavirus Program ‘outreach’ vaksin beri sinar baharu buat pengusaha pelancongan

Program ‘outreach’ vaksin beri sinar baharu buat pengusaha pelancongan

0
Program ‘outreach’ vaksin beri sinar baharu buat pengusaha pelancongan

KUALA TERENGGANU – Program ‘outreach’ suntikan vaksin ke pulau-pulau peranginan serta Tasik Kenyir oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang bermula pada Khamis memberi sinar baharu buat pengusaha pelancongan untuk kembali beroperasi.

Beberapa pengusaha pelancongan yang dihubungi mengakui, pemberian vaksin itu dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk berdepan dengan pelancong, sekali gus merancakkan semula perniagaan yang terjejas hampir dua tahun.

Pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd Rahman berkata, enam daripada 20 pekerjanya sudah menerima suntikan vaksin dos pertama di Pulau Kapas melalui program tersebut semalam, manakala pekerja lain akan menerima suntikan vaksin di tanah besar.

“Apabila resort kami tidak beroperasi semua pekerja dibenarkan balik ke tanah besar untuk bercuti tanpa gaji, sekurang-kurangnya mereka boleh melakukan kerja lain bagi menampung perbelanjaan harian.

“Kami berharap resort dapat beroperasi semula secepat mungkin selepas semua 20 pekerja menerima suntikan lengkap dua dos vaksin kerana cara itu sahaja untuk mengawal penularan Covid-19 selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di resort,” katanya yang mempunyai 72 bilik dan beroperasi di Pulau Kapas sejak enam tahun lalu.

Pemilik Qimi Private Bay, Rosmawati Abdul Hamid pula berkata, dia tidak sabar untuk beroperasi memandangkan wang simpanan semakin berkurangan.

“Sepanjang 19 tahun beroperasi di Pulau Kapas, saya memang ada ‘tabung kecemasan’ untuk menampung perbelanjaan ketika pulau peranginan ditutup sepanjang musim tengkujuh biasanya dari Oktober hingga Februari.

“Namun, kali ini tempohnya terlalu panjang dan saya risau sekiranya berlanjutan akan kehabisan wang simpanan. Semoga sektor pelancongan akan dibenarkan beroperasi semula, setidak-tidaknya untuk rentas daerah agar penduduk Terengganu boleh bercuti ke Pulau Kapas,” katanya.

Melalui program ‘outreach’ suntikan vaksin itu, JKNT menyasarkan hampir 10,000 pengusaha pelancongan dan penduduk pulau akan menerima dua dos suntikan lengkap selewat-lewatnya pada Oktober depan.

Sementara itu, Pengurus Redang Pelangi Resort, Ee Lin Foo pula berharap kerajaan akan membenarkan sektor pelancongan beroperasi semula di Pulau Redang setelah pekerja hotel, resort atau chalet menerima suntikan lengkap dua dos vaksin.

“Penilaian perlu dibuat berdasarkan situasi semasa Covid-19, lagipun agensi penguatkuasaan boleh memantau pematuhan SOP untuk industri pelancongan di pulau peranginan.

“Saya yakin, penggiat pelancongan akan mematuhi semua peraturan dan syarat ketat yang ditetapkan kerajaan asalkan mereka dapat beroperasi semula,” katanya.

Senada dengannya, ialah pengusaha rumah rakit di Tasik Kenyir, Ariadi Malik, 51 yang berharap kerajaan membenarkan semula industri pelancongan di Terengganu dibuka dengan syarat tertentu seperti hanya pelancong yang lengkap dua dos suntikan sahaja dibenarkan bercuti ke negeri ini.

“Jika rentas daerah atau negeri sangat berisiko, benarkan sahaja penduduk setempat bercuti ke Tasik Kenyir, sekurang-kurangnya ada juga pendapatan bagi menyelenggara rumah rakit ini,” katanya yang kini menjual ikan air tawar dari tasik itu untuk menyara kehidupan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here