Home Koronavirus Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksana secara berperingkat

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksana secara berperingkat

0
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksana secara berperingkat

PUTRAJAYA – Proses vaksinasi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 1 akan dilaksanakan secara berperingkat di negeri-negeri.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, tidak semua 532 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah menerima bekalan vaksin Covid-19 kerana jumlah dos vaksin yang telah diterima daripada pembekal masih lagi terhad, katanya.

“Jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa mengikut jadual penghantaran seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Segala persiapan di seluruh negara sedang dijalankan dengan rapi dan kami percaya bahawa apabila dimulakan di negeri masing-masing, kami menjangkakan ia akan berlangsung dengan lancar dan selamat,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran PICK oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Muhyiddin hari ini menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, yang menandakan PICK bermula secara rasminya hari ini. Turut menjalani proses vaksinasi hari ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan.

Menurut Khairy, Selangor akan memulakan PICK esok; diikuti Pahang, Sarawak dan Terengganu pada 26 Feb; Labuan (27 Feb); Kedah dan Pulau Pinang (28 Feb); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Johor, Perak dan Perlis (1 Mac); Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan (2 Mac) dan Sabah (4 Mac).

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, vaksin keluaran Johnson & Johnson masih dalam peringkat penilaian dan akan memuktamadkan kertas terma vaksin berkenaan dalam masa terdekat.

“Empat vaksin lain iaitu Sinovac, CanSinoBIO, AstraZeneca dan Sputnik V masih dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here