Home Koronavirus PPV perlu maklum polis jangkaan kehadiran orang ramai

PPV perlu maklum polis jangkaan kehadiran orang ramai

0
PPV perlu maklum polis jangkaan kehadiran orang ramai

KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu memaklumkan kepada polis mengenai jangkaan kehadiran orang awam untuk mengambil vaksin lebih awal, agar polis dapat membuat persediaan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, makluman itu bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan SOP berlaku di PPV sehingga kawasan itu menjadi sesak dengan orang ramai.

“Sebagai contoh kejadian sebelum ini, di PPV KLCC yang tular dengan ketidakpatuhan SOP termasuklah kejadian terbaharu Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini yang berlaku salah faham, (sehingga) orang ramai menganggapnya sebagai PPV.

“Seelok-eloknya orang ramai yang nampak dengan kejadian seumpama ini terus melaporkan dan janganlah terlalu asyik merakam sesuatu kejadian itu hingga terlupa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian tular PPV KLCC dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons berhubung ketidakpatuhan SOP.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, orang ramai diminta untuk tidak menularkan sesuatu kejadian ketidakpatuhan SOP hingga menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai tidak mempunyai sebarang nombor telefon mana-mana bilik gerakan polis mereka boleh berbuat demikian dengan hanya menghubungi talian 999.

“Setidak-tidaknya mereka boleh menghubungi talian 999, pihak saya kalau dapat maklumat, mustahil polis tidak ambil tindakan berhubung kejadian ketidakpatuhan SOP,” katanya

Selain itu, Zainal Abidin juga menolak alasan ketidakpatuhan SOP di PPV disebabkan orang awam datang awal sebelum waktu janji temu vaksinasi.

“Tidak mungkin juga, biasanya paling awal pun (orang awam) hadir dua jam sebelum waktu janji temu melainkan jumpa terus (walk-in). Bila sebut jumpa terus, kalau beri maklumat awal (jangkaan kehadiran) kepada polis, maka polis bersedia lebih awal untuk menjaga kawasan,” katanya.

Pada 28 Julai lepas, polis mengesahkan berlaku kesesakan warga asing di PPV KLCC seperti tular di media sosial, dan dua hari lepas kesesakan turut berlaku di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini berpunca daripada salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here