SINTOK – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘Outreach’ Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) mensasarkan pemberian vaksin Covid-19 sehingga 2,500 dos sehari untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk di daerah Kubang Pasu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PPV ini mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beroperasi pada 7, 13 dan 14 Ogos serta tiga hari lagi untuk dos kedua yang akan ditentukan kelak.
Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), PPV ‘Outreach’ IPT UUM akan beroperasi di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
“Dewan Mu’adzam Shah, UUM mampu menampung kapasiti 2,500 orang penerima sehari.
“UUM turut menghantar petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Jabatan Keselamatan Universiti dan sukarelawan melibatkan staf serta pelajar UUM bagi melancarkan operasi pemberian vaksin tersebut bersama petugas kesihatan KKM,” katanya pada sidang akhbar pada Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach UUM pada Sabtu.
Hadir sama Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimatun Saadiah Saad.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dengan kekuatan 70 petugas klinikal KKM, 30 petugas PKU, 35 petugas keselamatan UUM, 20 petugas dari Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) serta UUMIT dan 70 sukarelawan UUM serta sukarelawan NGO diyakini mampu melaksanakan pemberian vaksin untuk tiga hari tersebut bagi bulan Ogos dan Oktober depan.
Sementara itu, Ahmad Bashawir berkata, UUM berusaha menyediakan fasiliti yang selesa dalam pelaksanaan pemberian vaksin bagi membantu memastikan misi imuniti kelompok dapat dicapai.