Home Koronavirus PPV Mega pertama beroperasi di pusat beli-belah Johor

PPV Mega pertama beroperasi di pusat beli-belah Johor

0
PPV Mega pertama beroperasi di pusat beli-belah Johor

JOHOR BAHRU – South Key Midvalley, Johor Bahru yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi mega pertama beroperasi di pusat beli-belah di Johor mula beroperasi pada Isnin.

Pembukaan PPV South Key Midvalley itu merupakan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, PPV itu yang mula bermula beroperasi pada Isnin dari jam 8 pagi hingga 9 malam mampu memberi suntikan sehingga 5,000 dos sehari.

“Pembukaan PPV mega ini penting bagi membantu Johor mencapai sasaran 80 peratus rakyat yang mendaftar menerima suntikan vaksin.

“Kita di Johor sudah bersiap sedia dengan kapasiti pemberian suntikan vaksin antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

“Kita harap ia dapat membantu rakyat diberi vaksin seberapa segera supaya rancangan kita berjaya menyuntik 80 peratus daripada 2.5 juta rakyat Johor yang kita sasarkan bagi membentuk imuniti kelompok menjelang Oktober,” katanya selepas meninjau persiapan akhir pembukaan PPV South Key Midvalley, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu; Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Seramai 283 kakitangan perubatan dan sokongan daripada tujuh hospital pakar KPJ, iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang yang akan melaksanakan proses pemberian vaksin di PPV berkenaan.

Turut sama ialah Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani yang dibantu sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).

Hasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan PPV berkenaan.

“Saya rasa seluruh negara berbangga dengan pengorbanan masa dan tenaga sukarelawan daripada pelbagai pihak untuk membantu negeri dan negara kita menjayakan program vaksinasi ini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here