Home Koronavirus PPV Integrasi tingkat kapasiti vaksinasi penduduk Baling

PPV Integrasi tingkat kapasiti vaksinasi penduduk Baling

0
PPV Integrasi tingkat kapasiti vaksinasi penduduk Baling

BALING – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Baling merancang menaik taraf Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam ke PPV Integrasi bagi meningkatkan vaksinasi kepada 3,000 suntikan sehari.

Pengarah CITF daerah Baling, Mohamad Shahadan Abdullah berkata, perancangan itu membabitkan PPV Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dengan kapasiti 600 suntikan sehari kepada 1,500 suntikan sehari.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat tiga PPV yang beroperasi di Baling iaitu Dewan Tun Razak dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari, Dewan Majlis Daerah Baling, Kupang (500) dan Dewan UniSHAMS (600).

“Kita dalam proses perbincangan dengan pihak UniSHAMS di mana Isnin ini akan diadakan mesyuarat untuk dapatkan persefahaman, proses seterusnya akan diangkat kepada permohonan CITF negeri dan Pusat.

“Setakat ini, kesemua PPV menyediakan kapasiti sebanyak 2,100 suntikan sehari berbanding 3,000 suntikan sehari sekiranya PPV UniSHAMS dinaik taraf menjadi PPV Integrasi,” katanya ketika meninjau ‘Covid-19 Mobile Outreach Vaccination’ di Dewan Orang Asli, Kampung Kuala Kedua, Mukim Siong, Baling pada Sabtu.

Mohamad Shahadan berkata, ini merupakan ‘Covid-19 Mobile Outreach Vaccination’ ketiga dijalankan di daerah Baling membabitkan 200 masyarakat orang asli dan 100 penduduk tempatan.

“Insya-ALLAH kita akan tingkatkan program ‘mobile outreach’ di lokasi lain contohnya selepas ini akan buat di Bakai, Teloi Kanan dan Kampung Tas,” jelasnya.

Katanya, kesemua ‘Covid-19 Mobile Outreach Vaccination’ dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui klinik bergerak LZNK.

Sementara itu, Pegawai Zakat Daerah Baling, Mansor Musa berkata, klinik bergerak yang mula beroperasi Februari lalu sudah menyediakan perkhidmatan ke beberapa lokasi sebelum ini.

Menurutnya, disebabkan pandemik Covid-19, klinik bergerak itu mendapat permintaan digunakan sebagai pemberian vaksin bergerak termasuk di Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Mukim Siong Baling, Kedah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here