Home Koronavirus PPV di Sabah diarah perketat SOP elak kesesakan melampau

PPV di Sabah diarah perketat SOP elak kesesakan melampau

0
PPV di Sabah diarah perketat SOP elak kesesakan melampau

KOTA KINABALU – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan pengurusan setiap pusat pemberian vaksin (PPV) di Sabah memperketat penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak berlaku kesesakan melampau di pusat itu.

Beliau berkata, meskipun pemberian vaksin secara jumpa terus dibenarkan, penguatkuasaan SOP termasuk penjarakan fizikal dalam kalangan orang ramai yang hadir ke PPV perlu diperketat untuk memastikan proses pemberian vaksin sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Kita tidak boleh elak daripada berlakunya orang ramai datang (ke PPV) memandangkan sekarang ini kadar vaksinasi di Sabah semakin meningkat dan semakin ramai yang tahu untuk mendapatkan vaksinasi. Jadi apabila (pemberian vaksin) dibuka secara jumpa terus maka mungkin berlaku sedikit kesesakan.

“Bagaimanapun, saya telah pesan kepada pengurus PPV dan juga pasukan terlibat dalam penguatkuasaan supaya SOP dikuatkuasakan dengan ketat agar tidak berlaku kesesakan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu meninjau lokasi tanah runtuh membabitkan beberapa bangunan di Kompleks C, Hospital Queen Elizabeth (HQE) susulan hujan lebat baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin dan Pengarah HQE, Dr William Gotulis.

Khairy mengulas isu pemberian vaksin secara jumpa terus di Sabah sejak 12 Ogos lepas yang dilapor menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa di beberapa PPV termasuk Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini sehingga orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Mengenai bangunan HQE yang terjejas itu, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat penilaian kerosakan dan Kementerian Kesihatan akan mendapatkan anggaran kos daripada jabatan itu untuk permohonan peruntukan bagi tujuan pembangunan serta pembaikan.

“JKR akan membuat ketetapan berkenaan Klinik Tibi dan bangunan yang ada di sini… ketetapan untuk bangunan ini diklasifikasikan sebagai tidak selamat buat masa ini,” katanya.

Jumaat lepas, lima bangunan berisiko di HQE yang terletak berhampiran kawasan tanah runtuh iaitu Stor Ubat dan Consumable, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab telah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

Khairy sebelum itu mendengar taklimat Dr William berkaitan kapasiti HQE terutama bagi menangani pesakit Covid-19, yang antara lain memaklumkan kapasiti hospital itu buat masa ini agak baik termasuk di wad Unit Rawatan Rapi, wad biasa dan bahagian kecemasan.

Beliau turut menyampaikan bantuan kebajikan kepada 14 kakitangan hospital yang terlibat dalam bencana banjir dan insiden tanah runtuh itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here