Home Koronavirus PPAZ akan diperluas di negeri zon merah

PPAZ akan diperluas di negeri zon merah

PPAZ akan diperluas di negeri zon merah

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang mengembangkan pemberian Vaksin AstraZeneca di beberapa negeri zon merah dengan mewujudkan beberapa lagi Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPAZ).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, cadangan itu selepas melihat sambutan yang menggalakkan pada program sukarelawan fasa pertama vaksin tersebut.

Menurutnya, bagi pendaftaran sukarelawan yang pertama slot temu janji penuh ditempah dalam tempoh tiga jam.

“Kita akan memilih negeri yang akan terlibat bagi fasa dua sukarelawan vaksin AstraZeneca apabila menerima satu juta dos vaksin itu bulan ini,” katanya selepas meninjau hari pertama pemberian vaksin Astrazaneca di PPAZ World Trade Centre Kuala Lumpur(WTCKL) pada Rabu.

Khairy Jamaluddin juga berpuas hati pada hari pertama proses pemberian vaksin itu di PPAZ yang terlibat.

Untuk rekod, setakat jam 12 tengah hari sebanyak 682 dos pertama vaksin AstraZeneca telah diberikan kepada individu berdaftar di PPAZ WTCKL diikuti 449 di PPAZ Universiti Malaya dan 493 di PPAZ Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan sesetengah individu yang tidak dapat tarikh temu janji selepas mendaftar sebagai sukarelawan vaksin AstraZeneca, Khairy Jamaluddin berkata, masalah besar yang dikesan ialah nombor kad pengenalan tidak sepadan dengan nama daftarkan di aplikasi MySejahtera.

Katanya, jika nombor kad pengenalan tidak sepadan, individu tidak boleh didaftarkan untuk menerima vaksin tersebut.

“Bagi masalah tersebut saya akan berbincang dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), untuk mencari jalan penyelesaian.

“Bagaimanapun bagi mereka yang belum menerima temu janji boleh emel ke MySejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here