Home Koronavirus PKRC tempatkan pesakit positif guna RT-PCR saja

PKRC tempatkan pesakit positif guna RT-PCR saja

0
PKRC tempatkan pesakit positif guna RT-PCR saja

KOTA BHARU – Hanya pesakit positif Covid-19 yang disahkan menerusi kaedah ujian pengesanan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sahaja akan ditempatkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini bermula esok.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, langkah itu diyakini mampu mengoptimumkan sumber dan tenaga petugas di 14 PKRC dengan keputusan positif yang lebih tepat selain faktor penurunan kes sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, RT-PCR akan digunapakai kecuali di lokaliti kluster yang kadar positif Covid-19 lebih tinggi dengan mengekalkan penggunaan RTK-Ag atau ditentukan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri serta CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bermula esok, kes yang diisytiharkan sebagai kes sah memerlukan pengesahan ujian RT-PCR dan pesakit kategori satu, dua dan tiga akan di tempatkan di PKRC.

“Bagi kluster yang menggunakan ujian RTK-Ag, pesakit akan ditempatkan sementara di asrama Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan asrama Hospital Pasir Mas (sebelum ini adalah PKRC) dan perlu menjalani RT-PCR sebelum ditempatkan ke PKRC lain,” katanya ketika lawatan ke PKRC Tunjong, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Mengulas lanjut, setakat ini, empat PKRC di negeri ini iaitu Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Pasir Mas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, SMK Salor dan Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) diletakkan dalam keadaan bersedia.

“Kemasukan pesakit di empat PKRC ini dihentikan dan hanya menunggu kesemua pesakit dibolehkan pulang.

“Kita bagaimanapun tidak boleh menutup terus PKRC tersebut dan akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau sebelum itu turut menerima sumbangan 10 unit Oxygen Concentrators daripada Malaysian Thoracic Society dan Lung Foundation of Malaysia bagi kegunaan di PKRC Tunjong.

Sementara itu, Dr Selasawati memberitahu, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 HRPZ II menurun kepada 76 peratus iaitu 32 pesakit dalam rawatan berbanding 90-95 peratus dua minggu sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here