SHAH ALAM – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Zon Wilayah Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) menerima kes pertama jam 4.50 petang tadi.
Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Paduka Dr Rohana Johan berkata, PKRC tersebut dibuka secara berperingkat dengan permulaan sebanyak 100 katil.
“Untuk makluman, PKRC Zon Wilayah Tengah (ZWT) di MAEPS telah menerima kes Covid-19 pertama sekitar 4.50 petang tadi.
“PKRC ZWT dibuka secara berperingkat bermula dengan 100 katil dan akan ditambah ke 850 katil sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembukaan semula PKRC di MAEPS bukan petanda penularan kes berada pada tahap serius di negara ini.
Jelasnya, keputusan itu diambil untuk meringankan beban hospital awam sekali gus berupaya menangani kes-kes selain Covid-19.
Tambah beliau, katil-katil di hospital akan berkurangan akibat kemasukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
“Pesakit hanya dapat tahu dijangkiti Covid-19 ketika mahu mendapatkan rawatan di hospital tanpa ada sebarang simptom. Ini sudah semestinya memerlukan pengurusan katil kerana dia perlu diasingkan terlebih dahulu di wad.
“Justeru, kalau boleh kita mahu dia diasingkan terlebih dahulu dan dalam masa yang sama hospital mempunyai fleksibiliti untuk rawatan penyakit lain. Kita mahu jaga kapasiti hospital dan pembukaan MAEPS bukan tanda lampu merah kes di negara ini. Ini untuk elakkan kesesakan di hospital,” katanya.