Home Koronavirus PKPD secara pentadbiran di KMNS ditamatkan

PKPD secara pentadbiran di KMNS ditamatkan

0
PKPD secara pentadbiran di KMNS ditamatkan

KUALA PILAH – [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di sini ditamatkan pada Rabu sebagaimana dijadualkan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pada Khamis pelajar-pelajar menduduki peperiksaan secara bersemuka dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah membuat garis panduan untuk atasi masalah ini (berkaitan wabak Covid-19) sehingga selesai peperiksaan. Insya-ALLAH kes ini dapat dibendung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat satu pertambahan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Intan Delima 2 di KMNS menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 45 kes.

“Setakat ini, seramai 953 individu telah menjalani saringan Covid-19 membabitkan pelajar dan pensyarah kolej berkenaan,” katanya.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan sebelum ini berkata, KMNS di Kuala Pilah dikenakan PKPD secara pentadbiran selama tujuh hari berkuat kuasa Khamis lepas hingga Rabu.

Katanya, tiada pergerakan keluar atau masuk dibenarkan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

“Saringan akan dijalankan kepada semua individu yang bergejala sepanjang tempoh itu, manakala saringan bersasar akan dilaksanakan kepada semua warga KMNS pada hari kelima bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19 sebelum ditamatkan tempoh kuarantin mereka,” jelas Veerapan.

Kes indeks pertama dalam Kluster Intan Delima 2 dikesan adalah pada 21 November lepas membabitkan seorang pensyarah yang telah disahkan positif melalui saringan bergejala.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here