Home Koronavirus PKPD: Persiapan raya penduduk akan dibantu

PKPD: Persiapan raya penduduk akan dibantu

0
PKPD: Persiapan raya penduduk akan dibantu

TAPAH – Persiapan raya penduduk Kampung Lubok Katak di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama dua minggu sehingga 20 Mei akan diselaraskan bersama melibatkan beberapa agensi dan jabatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, penduduk akan dibekalkan barangan keperluan harian kering dan basah yang diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, satu pusat pengumpulan makanan akan diwujudkan di kawasan itu bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan barangan makanan mereka termasuklah persiapan juadah raya nanti.

“Bekalan makanan ini telahpun mula diedar oleh JKM sejak semalam dan hari ini juga edaran dibuat membabitkan barangan basah termasuklah ikan, sayur dan ayam.

“Untuk persiapan juadah raya nanti, memang kita tidak akan benarkan mereka keluar membeli, tetapi kita akan usaha carikan satu tempat untuk bantu penduduk kampung membeli barangan keperluan mereka. Kita akan uruskan dan selaraskan bersama JKM nanti,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan hari pertama pelaksanaan PKPD di Kampung Lubok Katak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tiada sebarang kelonggaran pergerakan keluar akan diberikan kepada penduduk kampung itu meskipun dengan alasan membuat persiapan raya.

Katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah terpakai yang mana mereka tidak dibenarkan melakukan ziarah hari raya, hanya keluarga dalam rumah sahaja yang dibenarkan.

“Keadaan di sini adalah terkawal dan setakat ini kita tidak terima apa-apa bantahan daripada penduduk,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Azharuddin berkata, ujian saringan Covid-19 dilakukan secara berperingkat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap 394 penduduk yang terlibat bermula pagi Jumaat.

Katanya, ia melibatkan 382 penduduk kampung yang majoritinya adalah Melayu manakala 12 orang lagi daripada Pusat Pengajian Pondok Al Aminin yang terletak dalam kawasan kampung terbabit.

“Kes pertama di kawasan ini dikesan pada 29 April lalu dan setakat hari ini (Jumaat), seramai 24 orang telah disahkan positif Covid-19, kesemua mereka telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Slim River,” katanya.

Seramai 24 anggota polis dibantu 12 anggota Rela diletakkan di dua pos kawalan yang didirikan di dua pintu masuk ke kawasan itu bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

Satu pusat gerakan turut didirikan di kawasan itu bagi tujuan penyelarasan maklumat dan tugasan KKM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here