Home Koronavirus PKPD Penjara Sungai Udang: Kemasukan banduan baharu cetus kluster

PKPD Penjara Sungai Udang: Kemasukan banduan baharu cetus kluster

0
PKPD Penjara Sungai Udang: Kemasukan banduan baharu cetus kluster

MELAKA – Kemasukan banduan baharu dari negeri lain dipercayai menjadi antara punca tercetusnya kluster Tembok Sungai Udang 2.0, sekali gus menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Penjara Sungai Udang selama dua minggu bermula Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, berdasarkan siasatan dan saringan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah dan Jabatan Kesihatan Melaka mendapati kes pertama berlaku melibatkan banduan dibawa masuk dari Negeri Sembilan pada minggu lepas.

“Penularan ke dalam penjara didapati berlaku selepas kemasukan 172 banduan dari Negeri Sembilan dan 14 orang dari Pusat Transit Tahanan A’ Famosa ke dalam Penjara Sungai Udang beberapa minggu lepas.

“Hasil saringan mendapati 81 daripada 186 banduan tersebut positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Rahmad berkata, susulan kes positif tersebut, Kementerian Kesihatan dan PKD Melaka Tengah melakukan siasatan dan saringan dari blok kuarantin iaitu Blok Berkat untuk membuat pengesanan kontak rapat dengan 256 saringan telah dilakukan setakat Isnin.

“Hasil daripada siasatan dan saringan tersebut, terdapat 76 kes positif setakat semalam dan menjadikan keseluruhan kes positif adalah 157,” katanya.

Justeru katanya, beberapa langkah telah diambil termasuk memastikan tiada lagi kemasukan banduan baharu dari negeri lain, memastikan pengasingan dibuat di blok kuarantin bagi mengawal jangkitan supaya tidak menular ke blok-blok lain serta mengesan kontak rapat sekiranya terdapat pertambahan kes.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Sungai Udang selama dua minggu akan melibatkan 3,499 banduan dan tidak membabitkan kuarters penjara. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here