Home Koronavirus PKPD: MRSM Pengkalan Hulu nafi pelajar tidak terima makanan

PKPD: MRSM Pengkalan Hulu nafi pelajar tidak terima makanan

0
PKPD: MRSM Pengkalan Hulu nafi pelajar tidak terima makanan

GERIK – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu menafikan dakwaan bahawa pelajarnya yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menerima makanan Hari Raya Aidilfitri, tiada bekalan makanan serta menerima makanan basi seperti yang tular di media sosial.

Yang Dipertua Badan Muafakat MRSM Pengkalan Hulu, Abdul Mukti Ab Mutalib berkata, semua pelajar menerima sumbangan kuih raya sehari sebelum Aidilfitri.

“Aduan bekalan makanan tidak mencukupi juga tidak benar kerana makanan banyak disumbangkan oleh pelbagai pihak sehingga berlebihan cuma waktu sahaja ada yang cepat dan lambat,” katanya yang ditemui Bernama ketika melakukan rutin pemantauan kebajikan harian di MRSM berkenaan, pada Sabtu.

Berkaitan makanan basi, beliau berkata ia sebenarnya disebabkan sayur tauge yang dicampur dengan cuka sebagai satu daripada bahan ramuan dalam masakan.

“Apabila diletakkan bersama dengan nasi dan lama terperap dalam bekas makanan, maka ia dikatakan basi sedangkan tidak, kerana Pihak Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah menyaring bungkusan makanan tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Abdul Mukti berkata kesihatan para pelajar dan guru yang sedang dikuarantin di MRSM terbabit sentiasa terjaga dengan dipantau beberapa pegawai kesihatan selama 24 jam selain proses sanitasi turut dilakukan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa sentiasa menasihati anak-anak mereka supaya bersabar sepanjang menjalani PKPD bermula 13 Mei lepas hingga 26 Mei ini sekali gus tidak menularkan perkara yang boleh membimbangkan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim ketika dihubungi berkata, mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan keperluan pelajar selain isu makanan telah diadakan di Pejabat Daerah, pada 9 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim pula berkata beliau dijangka melakukan lawatan ke MRSM berkenaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, pagi esok (Ahad).- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here