Home Koronavirus PKPD: Lapan laluan ditutup di Kuala Kedah

PKPD: Lapan laluan ditutup di Kuala Kedah

0
PKPD: Lapan laluan ditutup di Kuala Kedah

KUALA KEDAH – Lapan jalan di dua zon sekitar mukim Kuala Kedah, di sini ditutup sepenuhnya berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, penutupan laluan berkenaan dilakukan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk penduduk bermula 6 hingga 19 September di kawasan tersebut.

Beliau berkata, laluan ditutup secara kekal membabitkan Jalan Kampung Baru sebelum titi pasar Kubang Rotan, persimpangan Jalan Kampung Layang Utara dan persimpangan Jalan Kampung Padang (Jalan Kilang Baja).

“Laluan di hadapan Maritim Jalan Kota Marina, Kampung Tepi Laut, Taman Bahtera, Lorong Mayat dan sebelah Sekatan Jalan Raya (SJR) Kubang Rotan turut ditutup sepanjang tempoh PKPD.

“Setakat ini, lapan jalan ditutup sepenuhnya namun penutupan laluan lain akan dilakukan dari masa ke masa berikutan terdapat banyak laluan ke mukim Kuala Kedah,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di SJR di Jalan Kuala Kedah, di sini, pada Ahad.

Ahmad Shukri berkata, dua SJR didirikan di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan melibatkan laluan keluar masuk dari kawasan itu sepanjang tempoh perlaksanaan PKPD.

“PKPD di mukim Kuala Kedah akan lebih ketat berbanding PKPD Kota Setar yang pernah dilaksanakan pada Mei tahun ini dengan tiada sebarang aktiviti keluar masuk dibenarkan,” katanya.

Jelasnya, hanya tiga kampung iaitu Kampung Padang Garam, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Telok Talipon di Kuala Kedah terkecuali daripada perlaksanaan PKPD itu.

Menurutnya, polis akan melakukan pemantauan lebih ketat melibatkan laluan darat dan laut sepanjang tempoh perlaksanaan PKPD di kawasan berkenaan untuk mengekang penularan Covid-19.

Beliau menjelaskan seramai 56 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam kawalan di SJR.

“Selain itu, seramai seramai 42 anggota yang ditugaskan untuk operasi ‘snap check’ di laluan tikus sepanjang tempoh itu manakala pengawasan di laut pula akan dikendalikan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” ujarnya

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu pihaknya tidak membenarkan individu melakukan ‘walk-in’ untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam tempoh PKPD disebabkan tiada dokumen boleh dibuktikan oleh mereka.

Bagaimanapun, katanya, individu mendapat janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera dan kes kecemasan seperti rawatan hospital dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran polis.

“Selain itu, difahamkan aktiviti nelayan menangkap ikan di laut akan dibenarkan namun mereka yang memakai gelang pengawasan merah jambu tidak dibenarkan turun ke laut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here