ALOR SETAR – Langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar adalah langkah tepat untuk mengekang penularan Covid-19 di Kedah.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana fasiliti kesihatan di negeri ini dibimbangi semakin kritikal disebabkan peningkatan kes harian yang semakin tinggi.
Menurutnya, secara keseluruhannya, fasiliti kesihatan yang digunakan di negeri ini sudah mencapai 92 peratus untuk menampung pesakit yang menerima rawatan Covid-19.
“Sekiranya tidak dilakukan PKPD, kita bimbang fasiliti kesihatan tidak mampu lagi menampung keperluan, contohnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) cecah 78 peratus penggunaan.
Pertambahan kes harian yang cecah antara 100 hingga 200 sehari, kalau dibiarkan kemungkinan melonjak kepada 300-400 kes sehari, berdasarkan unjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kedah,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, sehubungan itu, sebuah lagi pusat rawatan Covid-19 untuk menempatkan pesakit tahap satu dan dua akan dibuka di Dewan Wawasan, Jitra dalam masa terdekat untuk menampung pesakit yang menerima rawatan.
“HSB, Hospital Besar Alor Setar dan Kolej Jururawat Sungai Petani sudah tidak dapat menampung keperluan, menyebabkan Dewan Wawasan akan diubah suai untuk kegunaan pesakit dengan kapasiti 400 katil,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, PKPD adalah langkah terbaik untuk menurunkan kes harian di dua daerah terbabit.
“Ini merupakan langkah yang perlu dibuat ketika ini, harap penduduk terlibat bersabar, ia untuk kebaikan semua khususnya keselamatan golongan berisiko tinggi seperti warga emas.
Saya juga ingin menasihatkan warga emas agar kekal di rumah kerana varian Afrika dan India ini turut menyerang golongan muda,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kes harian yang melonjak adalah disebabkan kluster berkaitan keagamaan yang disumbangkan daripada aktiviti masjid, tadarus, moreh selain kes import dari Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Muhammad Sanusi yakin pengalaman tahun lalu menyebabkan pihaknya lebih bersedia, termasuk persiapan agihan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan PKPD.
“Keluarga yang tidak dapat keluar bekerja akan dibekalkan bakul makanan, manakala yang dibenarkan keluar bekerja ke kawasan luar PKPB perlu menjalani ujian swab dan surat majikan,” katanya.
Mengulas mengenai tular dakwaan tiga buah bas dari pusat peranginan membawa pengunjung positif Covid-19 menyebabkan kes Kedah melonjak, Muhammad Sanusi tegaskan, pihaknya tiada makluman berkaitan perkara itu.
Kerajaan melaksanakan PKPD di 28 mukim di daerah Kota Setar, bermula 19 Mei hingga 1 Jun ini, manakala PKPD di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra bermula 18 hingga 31 Mei.