Home Koronavirus PKPD di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah

PKPD di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah

0
PKPD di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah

SHAH ALAM – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah berkuat kuasa 25 Mei sehingga 7 Jun 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan itu dilakukan setelah didapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti tersebut.

“Sehingga kini, terdapat 37 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 135 ujian saringan yang telah dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM juga mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah berkuat kuasa 25 Mei sehingga 7 Jun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) & Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad.

Jelas beliau, pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin sekali gus memutuskan rantaian jangkitan di kawasan ladang tersebut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Keramat, Semporna, Sabah pada 24 Mei 2021 seperti yang dijadualkan hasil penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Katanya, sepanjang PKPD, KKM telah melakukan 138 ujian saringan dan 19 individu disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah dirawat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut dimaklumkan, seramai 644 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 614 individu dikompaun manakala 30 lagi direman.

“Operasi Benteng (Ops Benteng) semalam telah menangkap 39 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga buah kenderaan darat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here