Home Koronavirus PKPD: Aktiviti kargo ‘non-essential’ dibenar 15-17 Julai

PKPD: Aktiviti kargo ‘non-essential’ dibenar 15-17 Julai

0
PKPD: Aktiviti kargo ‘non-essential’ dibenar 15-17 Julai

PUTRAJAYA – Semua aktiviti pengendalian, pemuatan dan pemunggahan barangan import non-essential bagi tujuan import dan eksport di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) diberi kebenaran khas, mulai hari ini hingga 17 Julai, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ka Siong dalam kenyataan pada Khamis berkata, Majlis Keselamatan Negara telah memberikan kebenaran khas itu dalam surat bertarikh 13 Julai 2021 untuk segera mengurangkan kesesakan di beberapa pelabuhan tertentu, yang antaranya telah mencapai kapasiti 80 peratus.

Katanya, aktiviti pemuatan dan pemunggahan dibenar diteruskan pada Isnin, Rabu dan Jumaat berdasarkan prosedur operasi standard MKN sedia ada.

Ka Siong berkata, ia amat penting bagi tempat yang sibuk seperti Pelabuhan Klang supaya dapat mengekalkan pengoperasian yang cekap dan mengelakkan berlakunya kesesakan akibat kepadatan kargo sepanjang tempoh PKPD dan langkah itu juga diharap dapat membantu pemain industri mengurangkan kos penyimpanan yang tinggi.

“MOT (Kementerian Pengangkutan) akan terus memantau perkembangan di pelabuhan dan lapangan terbang untuk memastikan barangan dan kargo dapat terus berjalan dengan selamat mengikut SOP ketat pencegahan Covid-19 seperti yang ditetapkan oleh MKN,” katanya.

Beliau berkata, syarikat dalam industri yang terlibat mesti mematuhi syarat seperti SOP Pengangkutan dan Logistik bagi tempoh kawalan pergerakan yang dikemas kini pada 15 Jun 2021, protokol penjagaan kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak membenarkan individu di bawah pemantauan (PUS) atau mereka yang dikenakan kuarantin untuk mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti.

Ka Siong berkata, pengeksport, pengimport dan pengendali gudang harus mendapatkan kebenaran polis bersama dokumen berkaitan berserta senarai nama pekerja yang terlibat sebagai bukti sebelum pemuatan atau pemunggahan barangan non-essential itu.

“Kebenaran daripada pihak polis ini boleh digunakan sebagai kebenaran perjalanan di sekatan jalan raya (SJR) dan perlu ditunjukkan kepada anggota penguat kuasa semasa melakukan aktiviti di premis syarikat,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here