Home Koronavirus ‘Pikachu’ tambat hati kanak-kanak terima suntikan vaksin Covid-19

‘Pikachu’ tambat hati kanak-kanak terima suntikan vaksin Covid-19

0
‘Pikachu’ tambat hati kanak-kanak terima suntikan vaksin Covid-19

PUTRAJAYA – Kehadiran ‘Pikachu’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (3) di sini, menceriakan suasana sekali gus mengurangkan rasa gementar kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di pusat pemberian vaksin (PPV) itu pada Selasa.

Sebaik sampai di PPV tersebut, kanak-kanak riang disapa watak animasi terkenal Jepun itu, yang merupakan inisiatif Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah tersebut, Mohd Ridzuan Che Lah, dengan beliau sendiri menyarung kostum ‘Pikachu’ itu.

“Memandangkan hari ini ramai penerima adalah daripada murid prasekolah, jadi saya buat keputusan untuk pakai kostum Pikachu ini, supaya mereka gembira dan tidak berasa takut untuk menerima suntikan.

“Alhamdulillah, kanak-kanak yang hadir tertarik dan ada yang teruja apabila melihat Pikachu di PPV ini, malah dapat ambil gambar dengan ‘Pikachu’ selepas menerima suntikan,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Mohd Ridzuan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, beliau akan memakai kostum ‘Pikachu’ itu sehingga sesi pemberian vaksin di PPV tersebut selesai pada Selasa.

“Memanglah panas dalam kostum ini, tetapi saya sebagai guru mahu semua menerima perlindungan daripada wabak Covid-19,” katanya yang yakin pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat mencegah jangkitan di sekolah.

Tinjauan Bernama mendapati dewan SK Putrajaya Presint 11(3) yang dijadikan lokasi PPV itu, turut dihiasi dengan belon dan kon berwarna warni bagi menceriakan suasana untuk kanak-kanak menerima suntikan vaksin.

Seorang ibu, Dr Nor Azlinawani Husin, 39, yang membawa tiga anaknya Azam Al Furqan Mohd Haziman, 9, Aisya As Sofea, 8, dan Airin Ayatul Husna, 6, untuk menerima suntikan di PPV itu berasa lega kerana mereka kini mendapat perlindungan daripada Covid-19.

“Saya memang menunggu pelaksanaan PICKids ini. Ia adalah ikhtiar saya kerana kanak-kanak juga terdedah dengan jangkitan. Apabila selesai suntikan, segalanya kita serahkan kepada ALLAH SWT,” kata doktor yang bertugas di Hospital Putrajaya itu.

Azam Al Furqan yang sememangnya ingin menerima suntikan vaksin itu kerana tidak mahu dijangkiti Covid-19 berkata: “Sakit sikit sahaja ketika disuntik, lepas itu tidak rasa apa-apa.”

PICKids dilancarkan pada 3 Februari lepas dengan menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga bawah 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here