Home Koronavirus PICKids: Pahang sedia insentif tingkat kadar vaksinasi murid

PICKids: Pahang sedia insentif tingkat kadar vaksinasi murid

0
PICKids: Pahang sedia insentif tingkat kadar vaksinasi murid

TEMERLOH – Kerajaan negeri Pahang menyediakan insentif sebanyak RM115,200 dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi murid berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Skim Galakan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang 2022.

Insentif itu membabitkan RM10,000 untuk pejabat pendidikan negeri, RM3,500 masing-masing untuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan sekolah orang asli serta RM1,000 bagi prasekolah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sehingga kini sebanyak 40 peratus murid berumur lima hingga bawah 12 tahun daripada jumlah keseluruhan 250,000 murid telah divaksin.

Menurutnya, insentif ini disediakan berikutan statistik pencapaian pengambilan vaksin dalam kalangan murid di negeri ini terlalu rendah.

“Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) cuba untuk membantu Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) supaya murid terlibat dapat digalakkan untuk mengambil vaksin.

“Jadi caranya adalah memperkenalkan ganjaran atau insentif kumpulan sasar berkenaan supaya mereka lebih bekerja keras dan murid yang mengambil vaksin dapat diberikan penghargaan kerana menyahut usaha kerajaan supaya mereka divaksin,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Dewan Terbuka Sri Ketumbit di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Silaturahim dan Jamuan Aidilfitri Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang 2022 selain perasmian program Insentif Skim Galakan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang 2022 untuk Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin, Pengarah JPNP, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga ADUN Kerdau yakin sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus murid dapat divaksin sehingga 31 Mei ini dicapai.

“Ia berikutan kerajaan negeri mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak termasuklah JPNP dan JKNP,” tambahnya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menggalakkan ibu bapa mengambil suntikan vaksin untuk anak mereka iaitu promosi dengan poster, papan iklan selain usaha berbentuk peringatan mesra.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here