Home Koronavirus PICK di landasan tepat, capai sasaran 300,000 dos vaksin sehari

PICK di landasan tepat, capai sasaran 300,000 dos vaksin sehari

0
PICK di landasan tepat, capai sasaran 300,000 dos vaksin sehari

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kadar vaksinasi negara kini mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu lebih 300,000 dos sehari bermula Julai sebagaimana yang telah direkodkan pada Isnin.

Beliau berkata, Malaysia telah berjaya mencapai kadar vaksinasi setinggi dengan 313,761 dos sehari membabitkan 6,585,002 individu telah menerima dos pertama dan 2,735,474 orang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Melihat kepada perkembangan ini, kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat, Insya-ALLAH.

“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

“Semua petugas barisan hadapan, para sukarelawan serta seluruh rakyat Malaysia yang telah bersama-sama dalam menjayakan program vaksinasi terbesar di negara ini,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya pada Selasa.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, sasaran tersebut adalah seperti mana yang telah diumumkan beliau dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Negara (Pemulih) pada 15 Jun lalu.

Katanya, fokus ketiga di dalam Pemulih ialah mempercepatkan program vaksinasi kepada sebanyak mungkin populasi di Malaysia.

“Ini bagi memastikan negara kita mencapai sasaran vaksinasi kepada sebanyak mungkin populasi negara yang seterusnya membolehkan kita menghampiri keadaan kehidupan sebelum pandemik Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here