Home Koronavirus Picagari vaksin Covid-19 di Malaysia mencukupi

Picagari vaksin Covid-19 di Malaysia mencukupi

0
Picagari vaksin Covid-19 di Malaysia mencukupi

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak perlu melakukan sebarang pembelian panik bagi picagari vaksin berikutan pengeluaran tempatan adalah mencukupi untuk menampung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta suntikan penggalak, kata kalangan pembekal domestik.

Pengarah Urusan Tree Med Sdn Bhd Khairul Anuar Danial berkata, bekalan itu mencukupi menerusi bekalan daripada tiga pengeluar tempatan.

“Jangkaan berlakunya kekurangan picagari itu adalah terutamanya di Amerika Syarikat (AS) berikutan ketetapan bahawa produk terbabit perlu mendapat kelulusan 510 (k) daripada pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) negara itu.

“Oleh kerana AS dan Eropah tidak membuat pembelian dari China sedangkan kebanyakan pengeluar berada di negara itu, maka inilah yang menyebabkan kekurangan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Syarat 510(k) merupakan serahan pra-pemasaran kepada FDA bagi memastikan bahawa alat perubatan itu selamat dan berkesan untuk dipasarkan dan menyamai alat yang sah untuk dipasarkan tetapi tidak tertakluk kepada kelulusan awal.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya kekurangan picagari vaksin Covid-19 pada 2022 yang boleh menjejaskan rutin pemberian vaksin serta aspek keselamatan jarum.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 95 peratus atau lebih 22.2 juta golongan dewasa negara ini telah mendapat vaksinasi Covid-19 yang lengkap setakat 9 November 2021.

Mengulas selanjutnya, Khairul Anuar sebaliknya menyifatkan sekarang sebagai masa terbaik untuk syarikat pengeluar picagari tempatan memanfaatkan pasaran eksport terbabit.

“Namun, aspek paling penting adalah membuat permohonan serta mematuhi ketetapan FDA dan selepas itu pasaran akan terbuka luas untuk pengeluar tersebut,” katanya.

Tree Med misalnya telah berada dalam pasaran penjagaan kesihatan sejak 2002 dan kini menyasarkan untuk mengambil alih Bisco (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan kira-kira 20 juta picagari setahun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Selia-Tek Holdings Sdn Bhd Mohd Khairi Mat Isa juga berpendirian sama mengenai tiada kewajaran bagi melakukan pembelian panik picagari.

“KKM misalnya telah membuat persediaan awal dan saya tidak menjangkakan Malaysia berdepan masalah kekurangan picagari,” katanya.

Selia-Tek yang juga pengeluar picagari bagi pasaran tempatan, turut menyasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara menerusi kerjasamanya dengan Pfizer Inc.

Mohd Khairi berkata, syarikat itu kini di peringkat perbincangan dengan syarikat farmaseutikal dan bioteknologi AS berkenaan bagi pembekalan picagari untuk dipasarkan bersama vaksin Pfizer.

“Kami berkemungkinan besar memeterai perjanjian itu dengan mereka pada tahun depan,” katanya.

Selain itu, Selia-Tek juga berhasrat membekalkan produknya kepada Pharmaniaga Bhd yang merancang untuk memperluas vaksin Sinovac ke pasaran Asia Tenggara dan Afrika.

Pandemik Covid-19 telah menyebabkan syarikat-syarikat berkaitan bertindak meningkatkan kapasiti pengeluaran masing-masing yang kini berjumlah tujuh juta picagari sebulan berbanding sejuta alat perubatan berkenaan pada masa sebelum pandemik.

Selia-Tek juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi pembelian lebih banyak mesin untuk keperluan kilang dan bersedia meningkatkan pelaburan terbabit jika perlu menambah pengeluaran alat berkenaan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here