PUTRAJAYA – Vaksin Covid-19 pertama di Malaysia iaitu jenis Pfizer-BioNTech adalah vaksin yang sensitif dan memerlukan suhu penyimpanan antara -90 darjah Celsius sehingga -60 darjah Celsius bagi memastikan keberkesanan vaksin itu tidak terjejas.
Untuk itu, vaksin ini perlu disimpan di dalam peti sejuk khas dikenali sebagai Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (ULTF) yang di tempatkan di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sebelum diedarkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menurut kenyataan media pejabat Perdana Menteri baru-baru ini, setakat ini secara keseluruhannya terdapat 54 lokasi PSV dan 605 lokasi PPV di seluruh negara.
Salah satu daripada 54 PSV itu adalah Institut Kanser Negara (IKN), yang akan membekalkan vaksin Pfizer-BioNTech kepada PPV di sekitar Putrajaya serta lokasi pemberian vaksin yang ditetapkan bagi menjayakan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lepas.
Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diterima IKN dalam fasa pertama pelaksanaan program vaksinasi terbesar negara ini adalah untuk kegunaan 7,020 orang petugas barisan hadapan merangkumi anggota kesihatan dan bukan kesihatan.
Dalam hal ini, perkara yang perlu diberi perhatian sudah tentunya cara pengendalian vaksin ini kerana ia vaksin Covid-19 yang pertama diperoleh oleh Malaysia sejak negara ini dilanda pandemik koronavirus maut pada 25 Januari 2020.
SH: 60 saat kritikal kendali vaksin Covid-19
Mengulas perkara ini, Pengarah IKN Dr Mohd Anis Haron @ Harun berkata, kecekapan petugas mengendalikan vaksin amat diperlukan kerana cuma 60 saat atau satu minit tempoh masa yang ditetapkan bagi memindahkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang disimpan dalam ULTF ke dalam kotak sejuk.
Menurut beliau, vaksin yang disimpan di dalam kotak sejuk dengan suhu simpanan 2 darjah Celsius hingga 8 darjah Celsius kemudiannya dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas dengan suhu penyimpanan yang sama sebelum diedarkan ke PPV.
“Proses mengeluarkan vaksin dari ULTF perlu dilakukan dengan teliti dengan petugas dikehendaki menggunakan sarung tangan yang tebal untuk membuka peti simpanan itu.
“Petugas ada masa satu minit sahaja untuk proses pemindahan vaksin yang ingin dibekalkan ke PPV. Pintu ULTF juga perlu ditutup setiap masa bagi memastikan suhu peti berada di julat yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Belau turut berkata, petugas IKN melalui latihan ditetapkan bagi memastikan proses pengendalian vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech berjalan lancar tanpa menjejaskan fungsinya.
SH: Vaksin Covid-19 bukan vaksin biasa
Mengulas lanjut proses pengendalian vaksin, Pegawai Farmasi IKN, Ahmad Tarmidzi Mohamed berkata vaksin Pfizer-BioNTech ini perlu melalui proses nyahbeku selama tiga jam selepas dikeluarkan dari ULTF, sebelum ia boleh digunakan.
Menurut beliau, ULTF yang ditempatkan di IKN mampu memuatkan 96 kotak vaksin Covid-19 dengan setiap kotak mengandungi 195 bebuli vial.
“Proses kendalikan vaksin ini sememangnya perlu dilakukan dengan teliti dan ia bukan seperti vaksin biasa, contoh, jika petugas telah buka satu kotak vaksin dan mengambil beberapa vials yang diperlukan. Kotak yang dimasukkan semula ke dalam ULTF itu tidak boleh dikeluarkan terus… kotak itu perlu berada dalam peti itu selama kira-kira dua jam sebelum ia boleh dikeluarkan balik,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, ULTF ini juga amat sensitif dan perlu disimpan di dalam bilik yang berhawa dingin bagi memastikan suhu penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech berada di tahap -75 darjah Celsius.
“Jika kita letakkan ULTF di tempat biasa… ada kemungkinan peti simpanan ini akan ‘shutdown’, tidak akan berfungsi dengan baik, dan boleh menjejaskan keberkesanan vaksin,” katanya sambil menambah pihaknya sentiasa memantau suhu ULTF bagi memastikan ia berada pada tahap yang di tetapkan.
SH: IKN adalah hybrid iaitu PSV dan PPV
Dalam pada itu, Dr Mohd Anis berkata, IKN yang diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai PSV dan PPV melakukan persiapan rapi dari segi fasiliti serta tenaga kerja bagi menjayakan Program Imunasasi Covid-19 Kebangsaan.
Menurut beliau, pihaknya menjadikan farmasi logistik IKN sebagai pusat simpanan vaksin Covid-19, sementara ruang foyer di aras empat dijadikan pusat pemberian vaksin
“Kita buat persediaan selama dua minggu untuk lakukan proses penyimpanan dan pemberian vaksin dan petugas terpilih diberi latihan secukupnya untuk program vaksinasi terbesar negara ini,” katanya.
IKN katanya, berperanan membekalkan vaksin kepada PPV di sekitar Putrajaya dan Klinik Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Vaksin yang dihantar di Klinik Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan dihantar untuk proses vaksinasi di PPV ditetapkan,” katanya.
Sebagai salah satu PSV, IKN sentiasa dikawal rapi oleh anggota polis dan pegawai keselamatan institut itu sendiri bagi memastikan keselamatan vaksin Covid-19 pertama di negara ini berada pada tahap tertinggi.
Selain itu katanya, seramai 991 orang petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin Covid-19 di IKN bermula Isnin (1 Mac) dan proses vaksinasi terhadap kesemua mereka dijangka selesai pada Jumaat (5 Mac).
SH: Jangan takut dengan vaksin Covid-19
Sementara itu, Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan IKN, Dr Melvyn Chin yang bertugas sebagai vaksinator menyeru orang ramai mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Saya telah terima suntikan, setakat ini tiada kesan sampingan dan tidak rasa sakit langsung. Jangan ragu-ragu dengan vaksin. Jika ada peluang ambil vaksin Covid-19 untuk bantu negara perangi pandemik ini,” katanya.
Penolong Pegawai Perubatan IKN, Mohd Jaya Jaafar pula berkata, proses pemberian vaksin Covid-19 ini tidak menyakitkan.
“Marilah sama-sama bantu negara perangi pandemik ini. Selepas menerima suntikan, saya sudah boleh bertugas seperti biasa jadi ia bukanlah satu perkara yang menakutkan,” katanya yang telah 25 tahun bertugas dalam bidang perubatan.
SH: Lindung diri, lindung semua
Menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua”, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada 24 Februari lepas dan ia juga menandakan bermulanya pelaksanaan Program berkenaan yang akan memberikan imunisasi secara percuma bukan sahaja kepada rakyat tempatan tetapi juga warga asing.
Program vaksinasi terbesar negara ini dilaksanakan dalam tiga fasa bermula pada 24 Februari hingga April 2021 (Fasa 1) untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa kedua pula dari April hingga Ogos 2021 membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos pada 21 Februari lepas melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang. – Bernama