Home Koronavirus Pesakit Covid-19 meningkat, Hospital Medan dibuka di Kulai

Pesakit Covid-19 meningkat, Hospital Medan dibuka di Kulai

0
Pesakit Covid-19 meningkat, Hospital Medan dibuka di Kulai

JOHOR BAHRU- Hospital Medan Mercy Malaysia di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai telah memulakan operasinya dengan menerima pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima pada 4 September lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, seramai 75 pesakit telah dirawat dengan tujuh pesakit aktif masih menjalani rawatan di hospital berkenaan setakat Sabtu.

Katanya, hospital medan berkenaan dibuka susulan peningkatan pesakit Covid-19 di Kulai yang dilaporkan berlaku sejak empat minggu lalu, menyebabkan kapasiti penggunaan katil hospital melebihi 100 peratus.

“Hospital medan yang mampu menempatkan sehingga 50 pesakit pada suatu masa ini dijangka beroperasi selama dua bulan sehingga pertengahan November depan.

“Khemah hospital medan mempunyai enam tandas dan dua bilik mandi serta ventilasi yang bersesuaian untuk menempatkan pesakit yang telah melepasi tahap kritikal Covid-19 sementara menunggu tarikh discaj,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, menurut Vidyananthan, pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) dilaksanakan di lapan daerah di negeri ini bermula 2 hingga 13 September.

Katanya, sebanyak 21 PPV menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin secara jumpa terus iaitu tujuh di Batu Pahat, masing-masing tiga di Pontian dan Segamat, dua di Kluang dan Mersing serta masing-masing satu di Kulai, Tangkak, Muar dan Johor Bahru.

“Orang ramai tidak boleh merentas daerah untuk pergi ke PPV ‘walk-in’ kerana setiap daerah mempunyai PPV ‘walk-in’ sendiri.

“Selain itu orang ramai diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir ke PPV terbabit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here