KUALA LUMPUR – Jika pada Sabtu seorang pegawai kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkongsi khabar gembira mengenai situasi pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan yang semakin berkurangan, pada Ahad pengarahnya mengesahkan perkara itu.
Dr Rohana Johan berkata, trend penurunan berlaku sejak sebulan lepas dan paling ketara seminggu kebelakangan ini.
“Alhamdulillah, jika kita bandingkan kemasukan pesakit Covid-19 sejak sebulan lepas, boleh nampak penurunan kes-kes yang masuk melalui Jabatan Kecemasan.
“Kalau sebulan dulu, kes-kes kecemasan yang menunggu untuk kemasukan ke wad lebih 200, sekarang setakat Ahad hanya tinggal sekitar 20 orang sahaja,” katanya ketika ditemui di HKL.
Beliau yakin kerjasama rakyat dalam pengambilan vaksin, melakukan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyumbang kepada situasi ini.
Dr Rohana berkata, kes-kes kategori lima yang memerlukan bantuan pernafasan juga menunjukkan trend penurunan amat ketara terutama dalam kalangan individu yang sudah lengkap divaskin.
“Walaupun masih ada lagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan namun jumlah tinggi dilihat dalam kalangan individu tidak mempunyai sejarah vaksin,” katanya.
Beliau berkata, lebih melegakan, keadaan terkini itu turut memberikan sedikit ruang kepada petugas barisan hadapan untuk berehat dan merawat pesakit dengan lebih tenang.
Dr Rohana yakin bahawa trend penurunan ini akan berterusan dengan kerjasama seluruh rakyat dan mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit termasuk inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV) serta hospital swasta yang sedia menerima pesakit bukan Covid-19.
“Juga inisiatif kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan para sukarelawan sama ada secara klinikal atau bukan klinikal yang membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan HKL,” katanya.
Tinjauan mendapati dua wad yang sebelum ini dikhaskan bagi merawat pesakit Covid-19 tahap tiga kini kembali dijadikan wad untuk merawat pesakit bukan Covid-19 zon kuning sejak seminggu lepas.
Difahamkan wad yang mampu menempatkan 30 orang pada satu-satu masa itu pernah dihuni 70 pesakit Covid-19 dengan dilengkapi katil kanvas sementara.
Kini katil kanvas itu diletakkan di satu sudut dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan, begitu juga dengan puluhan tangki oksigen dan ventilator.
Katil-Katil kosong juga dapat dilihat di dua wad isolasi yang menempatkan pesakit Covid-19 tahap empat dan lima serta yang memerlukan bantuan pernafasan.
Sebelum ini, Pakar Anestesiologi di HKL, Dr Hana Hadzrami berkongsi kelegaan apabila kes rujukan dari Jabatan Kecemasan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu yang membabitkan pesakit Covid-19 kritikal semakin berkurangan.
“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-Samar tapi penuh harapan,” katanya dalam satu kemas kini di laman Facebook. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kami mula nampak titik cahaya di hujung terowong gelap’