SHAH ALAM – Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan oksigen di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang berkurang sehingga lima kali ganda berbanding sebulan lalu.
Perkembangan itu menunjukkan ‘sinar’ bahawa situasi Covid-19 di negara ini semakin baik.
Pengarah PKRC MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, trend penurunan positif itu berlaku sejak tiga ke empat minggu lalu, dengan jumlah pesakit memerlukan bantuan oksigen hanya 109 orang berbanding 525 orang sebelum ini.
“Rekod yang paling tinggi sebelum ini ialah 525 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen iaitu membabitkan pesakit Covid-19 kategori empat.
“Sekarang jumlah pesakit yang kita ada ialah seramai 2,456 orang, dengan 109 pesakit kategori empat dan 1,930 kategori tiga, manakala warganegara seramai 2,324 orang dan bukan warganegara 132 orang.
“Pada 8 Ogos lalu, kita mempunyai seramai 525 pesakit kategori empat dan 1,789 pesakit kategori tiga. Alhamdulillah, ini menunjukkan keadaan semakin baik dengan pesakit kategori tiga adalah dominan ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Jelas Dr Shahabuddin, PKRC berkenaan memang bersiap sedia dengan tangki oksigen dan mesin oxygen concentrator yang banyak bagi pesakit yang kritikal dengan bantuan daripada Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, katanya, memandangkan jumlah pesakit memerlukan bantuan mesin itu semakin berkurang dan keadaan sudah agak lega, sejumlah 470 mesin oxygen concentrator diagihkan untuk kegunaan negeri lain seperti Pahang, Johor, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.
“Apa yang boleh saya katakan, petugas kesihatan di sini boleh berasa sedikit lega dengan situasi sekarang.
“Ramai petugas kesihatan dari negeri lain yang datang membantu kita seperti dari Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang sudah kembali ke tempat mereka.
“Kita jangka trend penurunan pesakit dan tahap ini akan berterusan dan keadaan akan kembali lebih baik untuk tempoh dua ke tiga minggu lagi,” ujar beliau.
Penurunan positif itu, katanya, membuktikan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Beliau mengharapkan semua pegawai serta kakitangan sentiasa terus bersemangat untuk memerangi pandemik Covid-19.