Home Koronavirus ‘Pertimbang ambil vaksin sebelum dikenakan tindakan’

‘Pertimbang ambil vaksin sebelum dikenakan tindakan’

0
‘Pertimbang ambil vaksin sebelum dikenakan tindakan’

SEREMBAN – Seramai 36 orang daripada 6,618 penjawat awam di Negeri Sembilan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 digesa mempertimbangkan semula keputusan mereka itu sebelum dikenakan tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sudah mengarahkan setiap ketua jabatan yang terlibat untuk memujuk individu berkenaan supaya menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat.

“Mereka diminta mendapatkan pengesahan daripada doktor sama ada benar-benar tidak boleh divaksin atau sebaliknya. Jika mereka masih enggan divaksin, mereka akan dinasihati sebelum diambil tindakan yang perlu,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, pada 18 Oktober lalu, JPA mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam.

Pekeliling Perkhidmatan itu menetapkan pada atau selepas 1 November pegawai boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan dos pelalian Covid-19 yang lengkap dengan cara mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19.

Pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, terdapat 13 individu dikesan tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan.

“Setakat ini sebanyak 98.8 peratus penjawat awam di negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, berikutan keadaan musim tengkujuh ketika ini Aminuddin menasihati penduduk di Negeri Sembilan terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya waspada dan berhati-hati sekiranya banjir.

“Semua jabatan terlibat terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasukan bomba serta pihak berkenaan sentiasa bersedia sekiranya berlaku banjir di kawasan hotspot setiap daerah, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here