Home Koronavirus Perolehan tambahan Sinovac dibincang Jumaat ini

Perolehan tambahan Sinovac dibincang Jumaat ini

Perolehan tambahan Sinovac dibincang Jumaat ini

PUTRAJAYA – Perolehan tambahan bagi vaksin Sinovac akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Jumaat ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan akan dibuat bagi menampung kadar vaksinasi yang tinggi pada Ogos.

“JKVAV akan bermesyuarat setiap Jumaat dan membincangkan perkara itu serta harga syiling Sinovac yang dijual untuk pasaran swasta,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK pada Isnin.

Kerajaan sebelum ini membenarkan Pharmaniaga Berhad untuk menjualnya ke pasaran swasta mengikut syarat dan garis panduan ditetapkan.

Syarikat farmaseutikal itu menjadi pengedar tunggal vaksin CoronaVac oleh Sinovac di negara ini telah melengkapkan tempahan 14.4 juta dos oleh kerajaan.

Khairy turut memberitahu, kerajaan masih belum memuktamadkan perolehan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech bagi tahun hadapan.

Katanya, perolehan vaksin tersebut masih di peringkat perunding antara kerajaan dengan syarikat berkenaan.

“Kita belum muktamadkan perolehan dikehendaki termasuk harga jualan yang akan ditawarkan.

“Apabila sudah dimuktamadkan nanti, saya akan maklumkan mengenai harga atau sama ada sama dengan pembelian kita (tahun ini) atau sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan Pfizer-BioNTech dan Moderna Inc telah menaikkan harga vaksin dalam kontrak pembekalan kepada negara Kesatuan Eropah (EU).

Sebanyak 1,800,630 dos Pfizer akan dihantar pada minggu pertama bulan ini manakala 2,412,300 dos AstraZeneca telah diterima sehingga 1 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here