Home Koronavirus ‘Permudahkanlah proses tuntutan mayat warga asing’

‘Permudahkanlah proses tuntutan mayat warga asing’

‘Permudahkanlah proses tuntutan mayat warga asing’

SHAH ALAM – Wisma Putra digesa menasihatkan duta-duta terutama negara yang mempunyai ramai pekerja di Malaysia agar meringankan proses tuntutan mayat dan pengebumian warganegara mereka.

Pengerusi Inspirasi Muhibah Indian Muslim Malaysia (IMIM), Sabarudin Abdul Rahman berkata, tindakan duta-duta negara luar yang merumitkan proses tuntutan menyebabkan bilangan mayat warga asing akibat Covid-19 meningkat di negara ini.

“Pada pandangan kami, lambakan mayat warga asing berlaku apabila berbagai alasan dan peraturan daripada kedutaan asing untuk menuntut mayat.

“Jika mahu dikebumikan, warga asing perlu mendapat kelulusan kedutaan mereka.

Bagi mendapat kelulusan perlu berbagai proses termasuk perlu mendapatkan persetujuan daripada negara mereka.

“Bayangkan apabila di negara asal mereka ada keluarga yang buta huruf dan tidak tahu bagaimana mahu menulis surat bagi menuntut mayat dari Malaysia.

Kita terpaksa draf satu surat sepertimana keperluan duta-duta mereka dan hantar kepada mereka untuk mendapatkan tandatangan serta pengiktirafan ketua daerah di negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya akan cuba membantu untuk mempermudahkan urusan pengebumian warga asing yang meninggal dunia kerana Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya kecewa dengan tindakan duta-duta negara luar yang tiada sebarang usaha menyelesaikan atau meringankan pengebumian tersebut.

Jelas beliau, kedutaan warga asing perlu ingat bahawa orang yang meninggal dunia itu adalah warganegara mereka dan NGO hanya membantu mempercepatkan urusan pengebumian sepertimana dituntut dalam Islam.

“Akibat dari kealpaan mereka ini, ada mayat yang terpaksa tunggu sehingga dua minggu untuk dikebumikan, malah ada yang makan masa berbulan-bulan lamanya.

“Apa salahnya benarkan dahulu urusan pengebumian dan urusan kedutaan di kemudiankan.

Pihak kedutaan juga boleh memberikan kebenaran awal dan selepas dikebumikan, boleh minta dokumen-dokuman lain yang diperlukan,” ujar beliau.

Tambah Sabarudin, beliau berharap mana-mana individu yang meninggal dunia tidak dilayan seperti penjenayah sehingga memerlukan proses yang panjang dan sukar.

“Apabila perkara begini sering berlaku, semangat sukarelawan yang ingin membantu juga akan pudar sehingga tidak mahu bantu apa-apa lagi dalam urusan begini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here