Home Koronavirus Perhimpunan sosial cetus kluster Simpang Sahari di Labuan

Perhimpunan sosial cetus kluster Simpang Sahari di Labuan

0
Perhimpunan sosial cetus kluster Simpang Sahari di Labuan

LABUAN – Kluster Simpang Sahari yang baru dikenal pasti dengan sembilan kes awal Covid-19 semalam (Jumaat) mempunyai kaitan dengan seorang wanita berusia 48 tahun yang menghadiri beberapa aktiviti sosial sempena sambutan perayaan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, kluster (komuniti) perhimpunan sosial itu membabitkan peserta yang dijangkiti ketika majlis berlangsung yang diadakan di Kampung Bukit Kalam berhampiran Kampung Sungai Bedaun.

Setakat hari ini, sejumlah 119 individu telah disaring dengan sembilan daripada mereka adalah positif.

“Kami telah menjalankan pengurusan penilaian risiko di kampung itu dengan memfokus kepada kawasan di Simpang Sahari. Penilaian itu membabitkan trend serta kemungkinan berlakunya jangkitan selain program bagi pencegahan dan pengawalan,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Labuan mempunyai kumulatif kes sebanyak 2,674 yang dikaitkan dengan tiga kluster aktif iaitu Layang-Layangan, Victoria Merdeka dan Simpang Sahari sehingga kini.

Dr Ismuni menasihati orang ramai agar mengamalkan ‘apa yang betul dan membetulkan apa yang salah’ dalam mematuhi protokol Covid-19 semasa berada dalam perhimpunan atau di tempat awam.

“Orang ramai harus mengambil berat terhadap perkara ini susulan peningkatan kes dalam kluster daripada perhimpunan sosial yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Ahmad Jawila pula berkata, 16 individu yang terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh perempuan berusia lingkungan 18 hingga 48 tahun telah dikenakan denda berjumlah RM35,000 kerana ingkar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan di pulau bebas cukai itu.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah menganjurkan majlis hari jadi, tidak mengamalkan penjarakan fizikal, gagal merekod butiran peribadi sebelum memasuki premis, melepak di pantai dan melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran polis. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here