Home Koronavirus Perhimpunan orang ramai faktor kluster di Sarawak bertambah

Perhimpunan orang ramai faktor kluster di Sarawak bertambah

0
Perhimpunan orang ramai faktor kluster di Sarawak bertambah

KUCHING – Perhimpunan orang ramai merupakan antara faktor utama kepada pertambahan jumlah kluster Covid-19 di Sarawak, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing.

Beliau berkata, keadaan diburukkan lagi dengan unsur kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam amalan normal baharu seperti penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka atau cara pemakaian pelitup muka yang tidak betul selain tidak mengamalkan kebersihan tangan.

“Orang ramai di Sarawak adalah diingatkan bahawa pada ketika ini virus Covid-19 telahpun berada dalam kalangan masyarakat. Virus ini hanya menunggu peluang untuk merebak daripada mereka yang dijangkiti (sama ada individu itu bergejala ataupun tidak) kepada orang lain yang mendekati mereka.

“Cara jangkitan berlaku sama ada semasa berada bersama-sama di tempat sesak (crowded place), dalam kawasan yang sempit (confined space), bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta ketika sedang makan atau minum (dengan pelitup muka ditanggalkan),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zin Hing berkata, bagi upacara pengebumian, sebanyak empat kluster dikesan iaitu masing-masing satu di Sibu, Beluru, Kapit dan Kuching, manakala saiz kluster adalah dari 25 kes sehingga melebihi 2,000 kes setiap kluster.

“Perhimpunan sosial sebanyak 11 kluster iaitu tiga di Kuching, dua di Samarahan dan masing-masing satu di Serian, Sri Aman, Kapit, Julau, Betong dan Bau manakala saiz kluster adalah dari 17 kes hingga 61 kes dalam setiap kluster;

“Tempat kerja sebanyak lima kluster iaitu dua di Bintulu dan masing-masing satu di Matu, Meradong dan Sri Aman manakala saiz kluster adalah dari 10 hingga 35 kes selain upacara perkahwinan dengan satu kluster iaitu di Miri melibatkan saiz kluster sebanyak 187 orang,” katanya.

Justeru, Zin Hing berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memerlukan kerjasama semua pihak agar mengelakkan diri daripada menyertai mana-mana perhimpunan ramai kerana risiko jangkitan Covid-19 berlaku adalah tinggi pada situasi itu.

“Risiko tinggi jangkitan ini boleh berlaku apabila individu menyertai perhimpunan ramai dan seterusnya pula menjangkiti ahli keluarga dan rakan kerja masing-masing. Maka, orang ramai diseru supaya mengambil tindakan yang bijak untuk membendung wabak Covid-19 di Sarawak,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here